Kenapa Putrajaya ‘lindungi’ Zakir Naik, soal wakil rakyat DAP




Penceramah kontroversi Zakir Naik dikehendaki oleh Agensi Siasatan Negara India kerana beberapa siasatan berhubung aktiviti keganasan dan isu permusuhan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

NAMA Dr Zakir Naik ditimbulkan di Parlimen hari ini, apabila wakil rakyat DAP bertanya kepada Putrajaya, adakah pendakwah kontroversi itu akan diekstradisi ke India.

Zakir dikehendaki oleh Agensi Siasatan Negara India kerana “menganjurkan permusuhan dan kebencian antara agama di India menerusi ceramah dan dakwah awam”, dan didakwa menghasut golongan muda melaksanakan aktiviti keganasan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata perlindungan diberikan kepada Zakir, yang kini penduduk tetap di Malaysia  selama lebih lima tahun setakat ini, tidak boleh diterima.

“Adakah Putrajaya akan bekerjasama dengan kerajaan India dan menghantarnya pulang ke India? Apa akan berlaku jika Malaysia perlukan seseorang diekstradisi dari India?

“Apa jenis negara kita ini jika kita tidak memantau tadbir urus antarabangsa? Kita perlu konsisten. Kita tidak boleh tidak konsisten hanya kerana Umno dan parti lain perlukan sokongan Zakir,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 3 November, Times of India melaporkan New Delhi akan membuat permohonan rasmi untuk ekstradisi Zakir “tidak lama lagi”.

Putrajaya nafi memberikan “layanan istimewa” kepada pendakwah itu seperti didakwa sesetengah pihak, dengan Kementerian Dalam Negeri berkata dia tidak melanggar undang-undang di Malaysia.

“Saya tidak faham kenapa dia diberikan status penduduk tetap di Malaysia,” kata Kulasegaran.

“Saya dimaklumkan permohonan untuknya menjadi warganegara sudah pun dibuat. Kenapa dia diberikan perlindungan?

“Ini mengarut. Ini tidak boleh diterima. Kita jadi bahan ketawa di seluruh dunia.”

Siasatan terhadap Zakir di negaranya sendiri menyebabkan dia melarikan diri dari India. Dia juga dilaporkan diharamkan memasuki UK. – 7 November, 2017.

No comments

Powered by Blogger.