5 sebab JDT menang, 5 punca Kedah kalah




KUALA LUMPUR: Final Piala Malaysia berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul piala berprestij itu buat kali pertama, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan domestik buat skuad Harimau Selatan itu.

Berikut adalah lima sebab JDT berjaya muncul juara:

1) Taktikal menekan lawan di garisan tinggi.

JDT memulakan aksi dengan penuh bertenaga apabila melakukan tekanan dengan cepat setiap kali pemain Kedah mendapat bola dan meminimumkan pegangan bola lawan, sekali gus mengurangkan ruang yang boleh digunakan pemain lawan untuk mencipta gerakan menyerang.

2) Permainan pantas ketika mengatur serangan.

Senjata utama JDT adalah kemampuan pemain mereka menggerakkan bola untuk menyerang dengan pantas dan kebanyakan serangan balas yang dilancarkan berupaya mencemaskan benteng pertahanan Kedah

3) Momentum gol awal.

Gol seawal minit kedua yang disumbangkan Aidil Zafuan Abd Radzak meletakkan haluan perlawanan ke arah JDT dan menyebabkan Kedah bergelut untuk kembali memberi saingan pada perlawanan terbabit.

4) Bijak manipulasi keadaan.

Selepas beroleh gol awal, JDT bijak memanfaatkan struktur permainan Kedah yang masih belum menemui rentak apabila memperagakan aksi menyerang habis-habisan dan beroleh beberapa peluang keemasan namun, percubaan gol mereka digagalkan Ifwat Akmal Che Kassim.

5) Disiplin pertahanan JDT yang cemerlang.

Kombinasi Aidil-Fadhli Shas di awal permainan sebelum Junior menggantikan Aidil nyata sukar untuk ditembusi jentera serangan, dengan Izham Tarmizi Roslan tidak perlu bekerja terlalu keras untuk menyelamatkan percubaan Kedah.

Lima sebab Kedah gagal menyaingi JDT:

1) Tuah tidak menyebelahi Kedah.

Kedah kurang menguji gawang JDT, namun lawan seharusnya menarik nafas lega apabila dua percubaan Baddrol Bakhtiar terkena tiang dan palang sekali gus menyelamatkan pintu gol mereka.

2) Pelan kedua Kedah mudah dipatahkan JDT

Tekanan di garisan tinggi JDT memaksa Kedah menukar corak menyerang dan memilih untuk melancarkan hantaran jauh, namun kebanyakan hantaran panjang Kedah mudah dipintas pemain JDT.

3) Gagal menemui rentak dengan cepat.

Bagaikan ada yang tidak kena dengan Kedah, mereka gagal menemui rentak dengan cepat apabila bergelut untuk membuat gerakan menyerang dan tiada bentuk serangan yang jelas mampu dijelmakan Kedah pada aksi terbabit.

4) Kesilapan sendiri.

Banyak kesilapan yang dilakukan pemain Kedah pada aksi ini, antaranya tidak menutup ruang dengan baik, tidak memberi tekanan kepada pemain lawan dan mereka dihukum atas kesalahan mereka sendiri.

5) Pemain simpanan tidak memberi impak.

Selepas ketinggalan dua gol, Kedah melakukan tiga pertukaran dan membawa masuk pemain muda yang masih segar dan memiliki kepantasan, namun kemasukan mereka tidak membantu pasukan Kedah untuk sekurang-kurangnya meledak gol sagu hati.

No comments

Powered by Blogger.