Raja Muda Kedah dimasyhur Sultan Kedah baharu



Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menggantikan kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat semalam. – Gambar Flickr, 12 September, 2017.

RAJA Muda Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit di Alor Setar hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang semalam di istana tersebut.

Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai menteri besar sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan. – Bernama, 12 September, 2017.

No comments

Powered by Blogger.