Bill Gates kekal individu paling kaya dunia




Bill Gates

LONDON 25 Ogos - Pengasas Microsoft, Bill Gates kekal pada kedudukan nom­­bor satu dalam senarai Forbes bagi 100 individu paling kaya di dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$84.5 bilion (RM361.1 bilion) pada tahun ini.

Gates yang pernah tercicir dari Universiti Harvard, mencatat kali ke-18 sebagai bilionair terkaya di dunia.

Daily Mail melaporkan, tangga kedua menyaksikan pemilik laman web bidaan Amazon, Jeff Bezos, 53, dengan nilai aset sebanyak AS$81.7 bilion (RMM349.1 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, 33, menjadi individu ketiga paling kaya dengan memiliki aset sebanyak AS$69.6 bilion (RM297.4 bilion).

Forbes mendedahkan, Zuckerberg juga merupakan antara 50 warga Amerika Syarikat (AS) pa­ling kaya dan berpengaruh.

Pada masa yang sama, Zuckerberg dan Bezos kini sudah mula menghampiri nilai aset Gates de­­ngan peningkatan sebanyak AS$15 bilion (RM64 bilion) secara mendadak tahun ini.

Pengasas Oracle, Larry Ellison menduduki tempat keempat de­ngan nilai kekayaan sebanyak AS$59.3 bilion (RM293.4 bilion) sementara Larry Page pula tempat kelima dengan kekayaan berjumlah AS$43.9 bilion (RM187.6 bilion).

Individu lain tersenarai dalam 10 individu terkaya dunia terma­suk Sergey Brin dengan kekayaan AS$42.7 bilion (RM182.4 bilion), ahli perniagaan China, Jack Ma pula mempunyai aset sebanyak AS$37.4 bilion (RM159.8 bilion).

Ahli perniagaan Ma Huateng pula mempunyai AS$36.7 bilion (RM156.8 bilion), Steve Ballmer dengan AS$32.9 bilion (RM140.6 bilion) dan Michael Dell AS$22.4 bilion (RM95.7 bilion).

 

Individu Paling Kaya Dunia

Bill Gates : RM361.1 bilion

Jeff Bezos : RM349.1 bilion

Mark Zuckerberg : RM297.4 bilion

Larry Ellison : RM293.4 bilion

Larry Page : RM187.6 bilion

Sergey Brin : RM182.4 bilion

Jack Ma : RM159.8 bilion

Ma Huateng : RM140.6 bilion

Michael Dell : RM95.7 bilion

No comments

Powered by Blogger.