Tarik balik laporan, bermaaf-maafan




Pergaduhan antara pengawal keselamatan dan lelaki berusia 20an di Subang Jaya yang tular, semalam. FOTO ihsan Discover Subang Jaya

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my


KES pergaduhan seorang lelaki dengan tiga pengawal keselamatan di kondominium di USJ1, Subang Jaya yang tular sejak semalam selesai selepas pengawal keselamatan berkenaan menarik balik laporan polis.

Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, pengawal keselamatan warga Nepal berusia 53 tahun itu menarik balik laporan polis yang dibuat pada hari yang sama kerana mengenali lelaki berkenaan.

Katanya,tiga pengawal keselamatan dan lelaki berusia 20 tahun itu juga sudah bermaaf-maafan dan menyelesaikan kes ini secara baik.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki terbabit tidak dibenarkan naik ke kondominium berkenaan kerana penghuni unit berkenaan melarangnya masuk.

"Akibat tidak puas hati lelaki berkenaan bertengkar dengan pengawal keselamatan berkenaan sehingga berlaku pergaduhan,"katanya.

Muhammad Azlin berkata, lelaki berkenaan pernah menetap di kondominium berkenaan bersama keluarganya.

"Kes diselesaikan dengan baik dan tiada tangkapan dilakukan polis,"katanya.

Terdahulu video memaparkan pergaduhan didakwa petinju seni mempertahankan diri campuran (MMA) dengan tiga pengawal keselamatan tular di laman sosial sejak petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang semalam selepas petinju berkenaan dikatakan cuba memasuki kawasan kediaman berkenaan, namun tidak dibenarkan tiga pengawal keselamatan di apartmen itu.

Dalam rakaman berdurasi 29 saat itu, seorang lelaki berbadan tegap dilihat dalam keadaan bersedia untuk bertinju dengan seorang pengawal keselamatan warga Nepal.

Pada masa sama terdapat seorang lelaki berbaju hitam cuba menghalang mereka daripada bergaduh, namun secara tiba-tiba petinju berkenaan menendang salah seorang pengawal berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.