Pekebun maut ditikam berhampiran rumah suspek




NURUL MAZWANA HAMDAN

28 Mei 2017

Mayat mangsa yang berlumuran darah masih berada di tepi Jalan Pengkalan, Sungai Kerang, Padang Gajah.

TAIPING - Seorang pekebun dipercayai maut selepas ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Jalan Pengkalan, Sungai Kerang, Padang Gajah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 9.35 malam tadi, mangsa dikenali sebagai Wong Chee Kheong, 43, yang masih bujang berasal dari Sungai Kerang, Padang Gajah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam, anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati keadaan mangsa berlumuran darah.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, mangsa diserang suspek berpunca daripada perasaan cemburu dan marah kerana mengesyaki mempunyai hubungan intim dengan isterinya.

“Lokasi mangsa ditemui juga dianggarkan kira-kira 30 meter dari rumah suspek yang juga berada di kampung sama.

“Selain itu kita juga percaya bahawa serangan tersebut bermula dari belakang rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Harrith Kam berkata, akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan luka di bahagian kepala, pipi serta lengan.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawah ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

“Suspek telah dikenalpasti dan dipercayai berusia 34 tahun dan turut mempunyai rekod memiliki dadah bersama isterinya yang juga seorang warganegara Thailand.

“Kedua-dua mereka kini telah menghilangkan diri selepas kejadian, dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.