Catatan Khas Muktamar: Intipati Utama Ucapan Penggulungan Tuan Guru Presiden PAS



Catatan Khas Muktamar: Intipati Utama Ucapan Penggulungan Tuan Guru Presiden PAS

Alhamdulillah, Muktamar PAS kali ke 63 telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada petang Isnin, 01 Mei 2017. Pastinya terdapat coretan pahit manis yang akan kekal terpahat di ingatan para perwakilan, pimpinan, petugas, penyokong dan pemerhati yang datang berkampung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Menariknya apabila Muktamar PAS kali ini mendapat tumpuan dan liputan luar biasa oleh pihak di luar sana. Pihak media arus perdana mahupun alternatif melaporkan perkembangan berita Muktamar samada dalam bentuk positif mahupun negatif. Sekalian pimpinan dan penyokong PH yang anti-PAS tidak kurang juga tumpang sibuk sekaki memberi respon dan ulasan terhadap Muktamar PAS. Tidak kurang juga ada sudah menyeberang keluar tetapi masih rindu untuk bermuktamar seperti dahulu.

Dalam keadaan banyak parti lain yang menangguhkan pemilihan kepimpinan, PAS dengan berani tetap mengadakan sesi pengundian bagi memilih kepimpinan baru sesi 2017-2019. Walaupun PAS dituduh sebagai parti pak lebai yang kolot lagi konservatif, tetapi kami melantik kepimpinan secara demokratik, dibuat pengundian secara telus lagi profesional, siap guna E Voting lagi. Pimpinan PAS Pusat dipilih oleh perwakilan dari seluruh Malaysia , bukannya mereka agih jawatan sesuka hati seperti gelagat perompak mengagih hasil dalam Filem P Ramlee- Nujum Pak Belalang. "satu untuk kau, satu untuk aku".. hehe

Muktamar kali ini kita dapat saksikan kegagahan Tuan Guru Presiden PAS yang begitu bersemangat dalam menyampaikan Ucapan Dasar dan Ucapan Penggulungan walaupun di raut wajahnya kelihatan agak keletihan dan keuzuran dalam usia yang kini menjangkau 70 tahun. Beliau masih mampu berucap dan berdiri selama 1 jam ketika Ucapan Dasar manakala selama 45 minit ketika Ucapan Penggulungan.
Tuan Guru Presiden PAS begitu tekun mendengar dan mencatat sepanjang sesi perbahasan berlangsung.

Ucapan Dasar yang bertemakan Sejahtera Bersama Islam menggariskan halatuju, dasar dan pendirian PAS dalam mendepani realiti politik semasa. Dalam ucapan tersebut, tidak ada menyebut secara terus nama mana-mana parti samada Kerajaan mahupun Pembangkang.

Dalam Ucapan Penggulungan pula, Tuan Guru Presiden PAS menjawab segala isu yang telah dibangkitkan oleh perwakilan dalam perbahasan dan usul. Berikut adalah intipati utama ucapan tersebut;

1. Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dengan membaca firman Allah dalam Surah Al-Anfal: 60-63) yang dijadikan pengajaran kepada kita dalam 2 perkara iaitu a) Persediaan mengikut kemampuan dan b) Politik perdamaian bukannya ketegangan.

2. Dalam menghurai persediaan mengikut kemampuan, Tuan Guru Presiden membaca firman Allah Surah Al Baqarah: 249 yang berkait rapat dengan kisah Thalut dan Jalut. Para mufassirun mengatakan, Thalut dan Nabi Daud A.S menyediakan 80,000 bala tenteranya dan tentera yang tidak mengikut arahan 76,000. Tentera yang mengikut arahan hanya 4,000 sahaja. Dengan 4 ribu mencapai kemenangan.

3. Dalam kisah Peristiwa Uhud dengan Nabi membuat keputusan dengan bermesyuarat untuk keluar ke Uhud, bersiap sedia 1000 anggota untuk melawan musuh. Tiba-tiba 300 orang tarik diri kerana cadangan mereka tidak diterima, keluar dari medan perang sama ada yang munafiq atau lemah iman kerana ikut kawan. Akhirnya walaupun peristiwa Uhud menimpa kemenangan tapi Allah mengajar betapa wajib kita beristiqamah, sama ada menang atau kalah.

4. Dalam menghuraikan Politik Perdamaian, Tuan Guru Presiden mengimbau senario kejayaan dakwah dan politik daripada Sirah Nabawiyyah dan Zaman Khulafa’ iaitu
pada masa pendamaian telah menyebabkan ramai orang menerima Islam berkali ganda, iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah dan selepas pengampunan beramai-ramai ketika Pembukaan Kota Mekah. Ini berbeza dengan masa perang.

5. Senario Perjuangan PAS, kita mengambil politik perdamaian dan bersabar sehingga menyertai kerajaan campuran 1973, masuk BN 1974 sehingga ditendang. Maka, kesan perjuangan PAS berjaya meranapkan budaya menghina Islam sehingga kita berjaya menembusi orang bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

6. Kini, PAS memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Tahaluf dan Taawun. Perjuangan PAS perlu dimantapkan dengan matang dan sejahtera secara pengisytiharan untuk merealisasikan Tahaluf yang sudah dibuat. Ta’awun, Musolahah dengan memilih perdamaian, berhikmah dan, menasihati secara baik dan berdebat dengan cara yang sopan.
Politik lawan secara bodoh bukan politik Islam. Apatah lagi politik jual ubat ditepi jalan, apatah lagi jual ubat yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

7. Seterusnya, Tuan Guru Presiden menegaskan apabila kita bercakap mengenai dakwah dan Jamaah Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS), sejak tahun 1951 telah wujud atas asas dan kesedaran untuk berdakwah dan menyahut tuntutan sebagaimana di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sejak kelahirannya hampir 66 tahun yang lalu, PAS telah meletakkan Islam sebagai dasarnya, iaitu Islam dari segi Undang-Undang Tubuhnya, perjalanannya, perjuangan setiap ahli dan barisan kepimpinannya sehinggalah ke matlamatnya untuk mendaulatkan Islam sepenuhnya di Malaysia.

8. Kemunculan PAS di tengah-tengah masyarakat Malaysia bersama-sama dengan beberapa kumpulan Islam yang lain tetap tidak akan mengubah statusnya sebagai sebuah Gerakan Islam yang utama berdasarkan ciri-ciri berikut:-
(i) PAS adalah sebuah Jamaah Islam yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan islah dan tajdid sepenuhnya di Malaysia;
(ii) PAS adalah Jamaah Islam yang mendokong dan memelihara kesyumulan Islam dan kesejagatannya;
(iii) PAS adalah Jamaah Islam yang bernaung di bawah Kepimpinan Ulamak secara ‘amal jama‘ie dengan menekankan ciri-ciri Hizbullah, parti mendokong ajaran Allah;
(iv) PAS adalah Jamaah Islam yang realistik dan praktikal, berakar umbikan rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat bukan kalangan elit sahaja tetapi adanya ulama’, ilmuan, pemimpin masyarakat, rakyat umum, sehingga bukan Islam, kaya, miskin, upaya (sihat), kurang upaya, alim, buta huruf. Mereka adalah ahli-ahli PAS;
(v) PAS adalah Jamaah Islam yang mengambil bahagian dalam politik tanah air di atas kekuatan dan kemampuannya tersendiri untuk membina sebuah ummah. Hari ini PAS punya 195 kawasan dan 7500 cawangan.

9. Tuan Guru Presiden mengingatkan bahawa tidak ada siapa boleh menjadikan PAS sebagai hotel persinggahan, hotel tumpangan untuk singgah sementara untuk menumpang, barangsiapa yang menumpang, ada masa aircond berjalan, ada masa aircond mati, bila aircond mati mereka akan berambus.

10. PAS sebagai sebuah parti politik dan juga gerakan Islam telah memilih jalan demokrasi yang dibenarkan syarak. Demokrasi yang diamalkan kini akan mengizinkan kita mewakili rakyat secara demokratik mengikut Perlembagaan Negara dan undang-undang. Oleh kerana itu, kita minta ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), sila buat kajian terhadap parti-parti lain. Adakah mereka menghormati perlembagaan? Adakah mereka mengikuti peraturan atau tidak? Contohnya Islam sebagai agama persekutuan, adakah mereka hormat atau tidak?

11. Seterusnya, Tuan Guru Presiden mengulas mengenai PAS yang tidak memisahkan Dakwah dan pentas Politik. Sesungguhnya, telah termaktub dalam Perlembagaan PAS dan amatlah jelas bahawa dasar perjuangan PAS adalah Islam sebagaimana yang tertera dalam perlembagaannya dan tujuan penubuhannya adalah semata-mata untuk Islam. Menyingkap lipatan sejarah kemunculan PAS, seawal Pilihan Raya Pertama pada tahun 1955, PAS dengan dokongan ulamak dan golongan intelektual bertanding bersendirian di atas tiket PAS dan sanggup menentang mana-mana parti politik yang lain hatta UMNO itu sendiri PAS lawan, yang turut dianggotai oleh umat Melayu-Islam kerana berbeza pendekatan.

Walaupun berbeza dan berlawan, namun jangan rosakkan keharmonian masyarakat dan persaudaraan. Kalau terlanjur, kena tarik ‘handbrake’, ada batas dalam berbalah dan bertengkar.

12. Pada tahun 2016 yang lalu, dengan tema “Budaya Politik Matang dan Sejahtera”, kita berjaya kemukakan suatu wacana politik sihat yang memikat semua parti politik yang bersaing sehinggakan, bukan satu, bukan dua tetapi tiga parti politik yang berusaha begitu gigih memujuk kita untuk bertahalluf dengannya. Namun, kita tolak. Dahulunya mereka kata mereka boleh “agree to disagree” tetapi rupanya mereka nak peralat kita untuk penuhi agenda mereka.
Mana mungkin kita boleh agree untuk orang menentang Islam yang kita bawa?

13. Tuan Guru Presiden mengungkapkan kembali suatu keputusan Majlis Syura Ulamak PAS sebagaimana berikut:
“Bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya”
Untuk maksud itu, di dalam Muktamar di Kota Bharu pada 2016 yang sama telah dikatakan bahawa: “Kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat. Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah, dakwah, siyasah oleh kepimpinan PAS”.

14. Kita juga dapati, dengan izin Allah SWT, apa yang selama berdekad-dekad dianggap musuh politik nombor wahid (satu) PAS selama ini kini sudah bersedia memahami kita. Sebagai sebuah Parti Islam yang memahami maksud surah al-Anfal yang kita bacakan awal-awal tadi, maka PAS menyambut kerjasama berkenaan dengan kerjasama atas perkara baik dan taqwa, bukan perkara dosa dan permusuhan.

15. Tuan Guru Presiden turut menyentuh mengenai RUU 355. Beliau berterima kasih kepada kerajaan yang memberi laluan yang sangat berharga lagi bermakna kepada Islam untuk PAS kemukakan Usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi maksud meminda Akta 355 sedia ada di Dewan Rakyat. Sesungguhnya kerjasama ini tidak akan kita lupakan dan semoga Allah permudahkan laluan seterusnya.

Beliau mengimbau kembali peranan YB Kota Bharu, Dato’ Setiausaha Agong yang telah menyokong dan memperincikan kandungan serta kepentingan Akta 355 itu dipinda kepada batas hukuman yang dicadangkan. PAS juga telah bersedia untuk membahaskannya menerusi YB-YB yang sudah ditugaskan dengan segala hujah dan dokumen. Namun demikian, Allah SWT mentakdirkan dewan ditangguh. Ini kehendak Allah.

16. Episod penentangan terhadap usaha membentangkan RUU 355 berkenaan kini terpahat dalam hansard Parlimen dan lipatan sejarah negara. Seluruh rakyat juga telah menjadi saksi di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla betapa takut dan bimbang malah begitu benci dan marah barangkali di kalangan wakil-wakil tertentu terhadap usaha untuk membentangkannya. Ada di kalangan mereka yang bangkit bertalu-talu untuk melewat-lewatkan masa pembentangannya, mengelencongkan perbincangan, menghalang pembentangan dan bermacam lagi sehingga bertelagah dengan YB Tan Sri Speaker.

17. Tuan Guru Presiden turut menzahirkan rasa amat sedih apabila diperhatikan akhlak murahan yang diperlihatkan oleh Ahli-Ahli Parlimen termasuk yang beragama Islam yang membantah pembentangan RUU 355 berkenaan. Aksi terjerit-jerit melaung kata-kata kurang sopan dan kurang ajar bukanlah identiti seorang Ahli Parlimen sejati yang dilantik secara sah dalam pilihanraya umum oleh rakyat. Betapa mereka amat marahkan PAS dan cadangan PAS untuk memartabatkan Islam menerusi Usul tersebut, telah dirakam dan dihalang sebegitu rupa walaupun akhir-akhir ini suara-suara “tarik handbrake” dan “u-turn” mula kedengaran. Bukan berani kerana benar tapi takut kerana salah.

18. Beliau membaca serangkap pantun nukilan Almarhum Profesor Zulkifli Mohamad, Mantan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS:
Melukut di tepi gantang,
Buka sanggul cari kutu,
Bila takut akalpun hilang,
Jumpa tunggul disangkakan hantu.
RUU 355 ini adalah tunggul yang dipacak, bukan melaksanakan undang-undang, Sudah takut pada tunggul.

19. Seterusnya, Tuan Guru Presiden menyentuh mengenai Kepimpinan Islam dan Amal Jamaie. Penyusunan tanzim jamaah berdasarkan konsep Amal Jama‘ie menjadi sangat penting. Terdapat empat elemen utama yang memastikan kejayaan jamaah mencapai matlamatnya berdasarkan ‘Amal Jama‘ie, iaitu:
i) Pemimpin
ii) Syura
iii) Ketaatan Anggota
iv) Janji Kesetiaan

20. Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan yang mengendalikan teraju kepimpinan jamaah itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepimpinan. Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepimpinan yang baik. Dengan wujudnya pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan beradab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff Jamaah Harakah Islamiyyah yang tersusun kukuh.

21. Di sinilah letaknya persoalan at-Tha‘ah dan al-Wala’ (kesetiaan) yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada jamaah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui Jamaah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ yang sedia ada.

22. Tuan Guru Presiden memetik contoh contoh dalam sejarah, antara lain bagaimana Panglima Khalid al-Walid diarahkan oleh Khalifah ’Umar al-Khattab supaya mematuhi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai ketuanya walaupun jelas Khalid al-Walid lebih terserlah dalam aspek ketenteraan daripada Abu ‘Ubaidah tetapi sempadan negara yang sudah besar dan masyarakatnya lebih majmuk, Abu ‘Ubaidah adalah orang yang paling layak. Maka terus melaksanakan tugas dengan setia.

Begitu juga kisah Kaab bin Malik dan rakan-rakannya yang tersilap dalam Perang Tabuk dipulau oleh Nabi dan sahabat-sahabatnya, tak keluar daripada Jemaah walaupun dipulau dan tak tinggal jemaah.

23. Dalam sejarah PAS banyak peristiwa, mereka yang telah mati; Dr. Abbas Alias, Ustaz Hassan Syukri, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Almarhum Tuan Guru Haji Harun Taib. Dipilih atau tak dipilih tetap bersama Jemaah. Dipilih dalam muktamar, menjadi ahli biasa. Dr. Abbas Alias terus hadir sampai akhir hayat, Presiden PAS yang kedua, turun jadi AJK PAS Pusat, turun jadi ahli biasa, tetap hadir Muktamar PAS. Ustaz Hassan Syukri bertanding Timbalan Presiden, tidak dipilih dan terus bersama PAS dan berkhidmat dengan PAS. Almarhum Ustaz Harun Taib begitu juga. Ustaz Abu Bakar Hamzah diambil tindakan disiplin dan dipecat ahli PAS sebab suka buat kenyataan sendiri. Walaupun dipecat, tetap bergantung pada PAS, tak pergi parti lain, tak buat parti lain, akhirnya kembali balik.

24. Yang masih hidup, Dr. Daeng Sanusi, Hj. Subky Latif dan lain-lain. Dr. Daeng Sanusi pahlawan panglima bugis, ulama’, seorang yang tegas, tidak dipilih dan jadi ahli biasa terus bersama PAS dan diberi penghormatan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Hj. Subky Latif ajk PAS Pusat, PJ Wilayah Persekutuan, Pengarah Harakah, tak jadi pengarah dan terus menulis untuk Harakah.

25. Di penghujung ucapan, Tuan Guru Presiden mengingatkan semua agar jangan lupakan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta ilmu warisan para ulama kerana asyikkan media baru yang sangat mengodakan kita sehingga lupakan sempadan hidayah Allah.

26. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang sudah dipilih dengan menyebut Saiyyidul Qaumi Khadimuhum (Pemimpin adalah khadam) Ini budaya kita Islam. Yang tidak dipilih tetap berada bersama PAS sehingga ke matlamat bahagia dunia akhirat.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
03 Mei 2017

No comments

Powered by Blogger.