PERBANDINGAN DI ANTARA BUAYA DAN SINGA



PERBANDINGAN DI ANTARA BUAYA DAN SINGA

Saya telah mengulas perkembangan Pilihanraya Presiden Amerika di ruangan akhbar Harakah bertajuk “Pilihanraya Presiden Amerika dan Zionis” pada bulan April yang lalu dengan menyebut bahawa perbandingan di antara dua calon Pilihanraya Presiden Amerika iaitu Hillary Clinton (Parti Demokrat) dan Donald Trump (Parti Republikan) adalah kedua-duanya berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong Israel dengan pendekatan yang berbeza, namun tujuannya tetap sama. Tetapi masih ada dikalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati kalah.

Perbandingannya laksana buaya dan singa, kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan menerpa secara terbuka dilapangan. Adapun buaya seperti kata pepatah Melayu ‘bagaikan air yang tenang jangan di sangka tiada buaya’.

Parti Demokrat dan Parti Republikan semuanya terlibat dalam campur tangan yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak langsung melalui wakil mereka. Tragedi pembunuhan yang mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia. Namun, undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang boleh memerangkap makhluk kecil sahaja. Apa-apa tindakan pun tidak boleh di ambil ke atas Amerika dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya.

Seganas-ganas singa dan buaya boleh dikawal oleh Jabatan Perhilitan dan dikurung dalam sangkar zoo. Begitulah politik, sejarah menunjukkan kuasa besar yang memuncak keganasannya seperti Adolf Hitler dan Benito Mussolini lebih cepat tersungkur.

Amerika adalah sebuah negara yang mendokong demokrasi bebas tetap dikawal melalui perlembagaan dan undang-undangnya. Disamping berlaku protes rakyat terhadap keputusan pilihanraya itu secara demokrasi jalanan, negara Barat di Eropah juga menujukkan tekanan bahawa Donald Trump tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti kempennya di masa pilihanraya kecuali kalau mahu menempah kehancuran Amerika seperti berkecainya kuasa besar Kesatuan Soviet di abad yang lalu atau kemusnahan dengan cara yang lain.

Apa yang perlu menjadi iktibar adalah betapa kecelaruan demokrasi Barat kini kerana disebabkan oleh tidak beriman dan hilangnya sifat budiman dalam pemilihan kepimpinan. Tiga faktor penting yang menjadi rukun manipulasi pemilihan iaitu 3M (Machinery (Jentera), Media and Money). Apabila 3 faktor ini yang dikuasai bangsa Yahudi dimanipulasi sepenuhnya sebagaimana yang diceritakan benar oleh Al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾ [البقرة: 247-248]



Berkatalah Nabi mereka kepada mereka (apabila mereka meminta Nabi itu menetapkan calon raja setelah dimintanya): “Sesungguhnya Allah melantik Talut menjadi raja kamu”. Mereka berkata: “Bagaimana dia dilantik, padahal kalangan kami ada yang lebih layak, dan dia pula tidak berharta banyak (kaya raya)?” Nabi mereka menjawab: “Allah yang memilihnya kerana dia berilmu dan sihat serta gagah perkasa”. Allah sahaja yang memberi kurnia pemerintahan kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengetahuan dan Kuasa-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)

Nabi mereka menegaskan lagi: “Sesungguhnya Allah menunjukkan tanda perlantikannya bahawa datang kepada kamu Tabut (peti) yang dibawa oleh Malaikat, yang ada di dalamnya ketenangan daripada Tuhan kamu dan pusaka peninggalan pengikut Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Sesungguhnya itulah dalil daripada Tuhan kamu sekiranya kamu beriman.” (248)] (Al-Baqarah: 247-248)

Al-Quran adalah kitab suci mukjizat yang kekal daripada Allah kepada Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. yang membawa kisah petunjuk sepanjang zaman.

Donald Trump memenangi pilihanraya dengan politik wang kekayaan yang mempengaruhi jentera dan media. Tegasnya, siapa paling kaya dan hebat Zionisnya dipilih dalam pilihanraya di Amerika. Apabila dicampur wang dan Zionisnya maka sangat kuat sumbangan mempengaruhi politik terkini, apabila akal berada di perut dan apabila yang tinggi ilmunya dapat diperkudakan.

Para ulama tafsir Al-Quran menegaskan pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum bukan sebabnya yang khusus.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI BIN AWANG

Presiden PAS
17 Safar 1438H / 17 November 2016M

No comments

Powered by Blogger.