MB Kelantan ketuai senarai penerima darjah kebesaran



MB Kelantan ketuai senarai penerima darjah kebesaran

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob bakal mengetuai senarai 608 penerima darjah gelaran kebesaran negeri Kelantan sempena hari keputeraan Sultan Muhammad ke-47 Sabtu ini.

Beliau merupakan satu-satunya penerima gelaran kebesaran yang membawa gelaran Dato' Bentara Kanan.

Majlis penganugerahan itu akan diadakan di Istana Balai Besar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata seramai 599 akan menerima gelaran kebesaran negeri, darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian pada majlis tersebut.

Manakala 9 orang lagi dilantik sebagai Jaksa Pendamai (JP).

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 29 individu merupakan penerima Darjah Kebesaran Al-Petrawi bagi peringkat kedua hingga kelima.

"Ia merupakan satu darjah kebesaran baharu yang diperkenankan oleh Tuanku Sultan Muhammad V bermula tahun ini.

"Yang dinamakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia atau Al-Petrawi yang terdiri daripada lima peringkat," katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Menurutnya peringkat pertama dan kedua membawa gelaran Dato' yang hanya dikhususkan kepada penerima dari badan beruniform perkhidmatan awam.

Turut hadir pada sidang media itu Pengelola Istana D'Raja Kelantan, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Tema sambutan hari keputeraan tahun ini “Islam Dijulang, Raja Dijunjung, Rakyat Disanjung”.

Sementara itu persiapan menyambut sambutan keputeraan bermula sejak bulan lepas. Lampu jalan yang dihiasi menarik dipasang di jalan utama di Kota Bharu dan hadapan Kota Darulnaim.

Bendera negeri Kelantan juga dipasang di sepanjang jalan, premis perniagaan serta pejabat kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.