Ramai betul yang ambil berat pasal ucapan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di PBB



Ramai betul yang ambil berat pasal ucapan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di PBB.

Aku tak nafikan bahawa ucapan Zahid di PBB tu tak eloquent mana. Tapi Zahid orang Bagan Datoh, Perak. Lidah dia lidah Jawa campur Melayu. Dia bukan Margaret Thatcher atau Barack Obama dan bukan native speaker bahasa Inggeris.

Dia Melayu keturunan Jawa yang bercakap dalam bahasa asing yang dia telah pelajari. Kita yang boleh bercakap bahasa Inggeris sebab 11 tahun belajar di sekolah ini pun bukannya bercakap Queen's English atau BBC English, tapi lebih kepada English ikut acuan Malaysia. Dan kalau kau boleh cakap mengikut Queen's English pun bukannya kau ada peluang nak tunjuk betapa powderful-nya English kau di atas pentas PBB.

"Tapi Zahid tu TPM kot. Malulah TPM punya English macam tu."

Aduh. Charles de Gaulle dulu pun bahasa Inggeris dia tak power mana juga. Vladimir Putin, bila CNN tanya dalam bahasa Inggeris dia bantai balik jawab dalam bahasa Rusia. Mat Saleh duduk Australia atau Amerika Syarikat tu, walau bercakap dalam bahasa Inggeris pun sebutan dia tak sama dengan Mat Saleh United Kingdom. Dan kita kena ingat, masa Zahid berucap di PBB tu bersepah pula delegasi negara lain di bawah yang pakai headphone sebab nak dengar terjemahan ucapan tersebut dalam bahasa lain pilihan mereka.

"Dah tu, kenapa Zahid tak berucap je dalam bahasa Melayu? Dia kan pemimpin Melayu? Bahasa kan jiwa bangsa?"

Dalam PBB ada enam bahasa rasmi yang digunakan. Bahasa Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan Sepanyol. Bahasa ini digunakan dalam ucapan, mesyuarat dan sebagai teks dokumen. Yang pakai headphone dengar Zahid berucap tu, diorang tengah dengar terjemahan dalam salah satu dari enam bahasa tadi.

Dalam Perhimpunan Agung PBB, wakil negara yang berucap digalakkan untuk menggunakan salah satu dari enam bahasa rasmi ini. PBB melalui United Nations Interpretation Service menyediakan khidmat terjemahan (lisan dan teks) dari satu bahasa rasmi (Inggeris contohnya) kepada lima bahasa rasmi yang lain.

Wakil negara, walaubagaimanapun boleh pada waktu tertentu memilih untuk menggunakan bahasa lain yang bukan bahasa rasmi PBB. Ini boleh berlaku kerana dia tak reti mana-mana bahasa rasmi PBB, atau atas faktor pendirian politik. Dan kalau ini berlaku, adalah menjadi tanggungjawab wakil negara tersebut untuk membawa penterjemah mereka sendiri atau menyediakan teks terjemahan ucapannya untuk edaran umum.

Dalam kes Zahid, dia reti bahasa Inggeris dan dia tak ada nak mendemonstrasikan apa-apa pendirian politik. Dan dia juga nak mengelakkan dari membawa penterjemah sendiri atau menyediakan teks terjemahan. Senang cerita dia pergi PBB, dia berucap dalam bahasa Inggeris, penterjemah terjemahkan kepada lima bahasa rasmi lain dan semua delegasi happy dan lepas perhimpunan boleh pergi jalan di Manhattan Fish Market (bukan yang tipu punya). Yang penting isi ucapan itu sampai.

Jadi bagi pejuang bahasa Inggeris yang mengutuk Zahid, sila ingat ada beribu lagi bahasa lain di dunia ini dan sekurang-kurangnya Zahid Hamidi tahu Inggeris tapi Obama sah-sah tak reti cakap Melayu.

Dan untuk pejuang bahasa Melayu yang mahu Zahid berucap dalam bahasa Melayu, sila beringat bahawa bahasa kebanggaan korang tu bukan bahasa rasmi PBB dan berpegang pada pepatah Melayu yang serupa, bila masuk kandang PBB, kita guna sajalah salah satu dari enam bahasa rasmi PBB. Tak payah menyusahkan orang lain.

Lucius Maximus
Pengguna bahasa Melayu, Inggeris dan Peghok.

No comments

Powered by Blogger.