Perjuangan Datuk Dr Haron Din tetap diteruskan



Artikel penuh saya tanpa edit mengenai Tuan Guru Dato Dr Haron Din adalah seperti berikut, oleh kerana kekurangan ruang, keseluruhan artikel tak dpt disiarkan:-

Perjuangan Datuk Dr Haron Din tetap diteruskan.

Negara kehilangan sebutir permata atas pemergian Datuk Dr Haron Din kembali ke pangkuan Penciptanya pada 16 September lalu di Amerika Syarikat. Saya berkesempatan akrab dengan Almarhum mulanya sebagai anak murid dan selepas itu pelbagai program bersama dengan Almarhum menyebabkan tatkala saya menukilkan rencana ini mengalir airmata mengenangkan saat-saat bersamanya. Saya juga berpeluang memberi sedikit nasihat perundangan kepada Almarhum di dalam hal ehwal yang dihadapinya serta juga Pertubuhan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Darussyifa' yang mana Almarhum adalah pengasas dan penasihatnya.

Umum mengetahui keintelektualan dan kegigihan Almarhum sebagai aktivis agama khususnya dalam bidang dakwah dan pengubatan Islam. Bagi saya Almarhum merupakan peribadi yang banyak mencorak pemikiran saya dalam konteks pelaksanaan syariah di Malaysia. Selain Almarhum dua tokoh lain ialah Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Prof Datuk Mahmud Saedon Awang Othman. Kedua-dua mereka juga telah mendahului kita menemui Yang Maha Esa. Saya mendoakan ketiga-nama nama besar di dalam perundangan Islam ini ditempatkan bersama roh orang yang beriman.

Walaupun almarhum Datuk Dr Haron Din juga terlibat di dalam arena politik nama almrahum lebih masyhur di pentas dakwah dan pengubatan Islam. Jawatan almarhum di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) sentiasa dijadikannya wadah menegakkan syiar Islam dan tekad mengarusperdana syariah.

Almarhum amat tegas di dalam prinsip tetapi pemurah dengan senyuman. Ketinggian ilmu almarhum tidak menyebabkan almarhum mendabik dada tetapi membumi akhlak almarhum menyebabkan ramai yang menyenangi almarhum. Amat terperinci di dalam meneliti sebarang syor atau saranan dan tidak alpa kesan terhadap sesuatu tindakan.

Almarhum amat pemurah dan tidak pernah menetapkan sebarang bayaran untuk ceramah atau pengubatannya. Almarhum tidak pernah menjadikan bayaran sebagai prasyarat untuk mendapat perkhidmatan almarhum. Malah acapkali juga diperhatikan wang yang diberikan kepadanya dipulangkan kembali untuk kegunaan umum secara senyap-senyap.

Usaha almarhum telah membuahkan hasil apabila Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016 (Akta 775) telah memasukkan pengubatan Islam sebagai pengubatan komplimentari yang diberi pengiktirafan untuk diamalkan dan diberi ruang di beberapa hospital moden. Akta 775 tersebut merupakan suatu akta bagi menagwal selia perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia termasuk pengubatan Islam. Ia akan menjadikan pengubatan Islam lebih tersusun bersistematik dan diuruskan sejajar dengan ajaran Islam.

Mungkin hasil titik peluh almarhum ini tidak dapat dilihatnya semasa hayat almarhum tetapi masyarakat sudah pasti dapat menikmati perjuangan almarhum yang mahukan perubatan moden ini berjalan seiring dengan perubatan Islam.

Almarhum selalu menegaskan walaupun beliau terlibat di dalam pengubatan Islam namun perubatan moden tidak seharusnya ditolak. Beliau sendiri mendapat khidmat perubatan moden walaupun logiknya almarhum menghafal pelbagai doa meminta kesembuhan. Malah anak dan menantu almarhum juga beramal sebagai seorang doktor perubatan dan mempunyai klinik sendiri. Hal ini berbeza dari anggapan umum yang menyatakan perubatan Islam menolak perubatan moden.

Perubatan moden dan kaedah pengubatan Islam seharusnya saling komplemen antara satu sama lain, saling lengkap melengkapi bukan bersaing antara satu sama lain.

Pemergian Almarhum menjadikan negara pilu dan bersedih. Pelbagai pihak menzahirkan kedukacitaan mereka dalam pelbahai wadah. Namun begitu terdapat juga pihak yang sangat tidak bertanggungjawab memfitnah dan menghina Almarhum dengan pelbagai tohmahan. Kalau sebelum ini merekalah mendakwa juara keterbukaan minda, menghormati orang lain dan tidak rasis. Namun lakonan mereka terserlah dengan pelbagai hinaan dan cercaan terhadap Almarhum. Pelbagai perkataan dan reaksi kurang ajar ditunjuk mereka menggambarkan sikap sebenar kumpulan ini. Mereka hanya akan meminta orang lain menghormati mereka tetapi mereka sendiri seolah-olah berada di atas neraca akhlak dan undang-undang.

Amat menyedihkan insiden sebegini masih berlaku pada zaman yang didakwa penuh dengan tamadun. Ia menzahirkan sebahagian masyarakat bukan Islam sangat berprasangka terhadap orang Islam. Insiden yang sama juga berlaku di kalangan orang Islam. Hal ini perlulah diperbaiki di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira ras budaya dan agama.

Bagi saya pemergian Almarhum ke alam baqa' ibarat sebuah mahligai kaca yang terhempas berderai di lantai. Namun sebagai salah seorang anak didik yang menjadikan Almarhum sebagai tanda aras perjuangan saya tetap akan mengutip deraian kaca yang terhempas tersebut dan menyusunnya kembali membentuk mahligai yang baru. Walau saya sedar mahligai tersebut tidak akan sama dengan yang dibina Almarhum sekurang-kurangnya kami dapat mendirikan sebuah mahligai juga inshaALLAH.

Wasiat Almarhum mahu disemadi di tempat kematiannya Amerika Syarikat boleh juga dikiaskan dengan wasiat Abu Ayyub Al-Ansari yang mahu disemadikan di Kota Konstantinople yang ketika itu masih di bawah pemerintahan bukan Islam. Apabila ditanya mengenai wasiat beliau, Abu Ayyub menjelaskan bahawa beliau mahu mendengar derapan kuda sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera (Tentera Sultan Muhammad Al-Fateh) ketika mereka bergerak masuk membebaskan Konstantinople. Diharapkan suatu hari nanti Amerika Syarikat juga akan menjadi negara Islam kelak.

Sebutir permata yang telah digilap bersinar kini sudah tiada lagi. Sebagai salah seorang anak murid almarhum saya turut bersama dengan keluarga almarhum berdukacita atas kehilangan besar ini. Jika boleh saya mahu almarhum terus berada di sisi kamu namun perancangan Allah adalah lebih baik selaras dengan ingatan ALLAH di dalam surah Al Insan ayat 29-30 yang bermaksud ' Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan, maka sesiapa yang menghendakinya nescaya dia akan mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan jika kamu tiadalah kamu kehendaki sesuatu melainkan jika Allah menghendakinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana'.

Kami mendoakan Almarhum aman disisiNya. Berehatlah Tuan Guruku di taman syurgamu. Perjuanganmu akan tetap diteruskan.

Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments

Powered by Blogger.