Kenyataan Media Fara Fauzana Batalkan Perkahwinan



Fafau batalkan perkahwinan

KENYATAAN MEDIA

Assalammualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Rakan-rakan media yang saya hormati,

Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang pada 17 September ini dibatalkan.

Keputusan untuk membatalkan rancangan pernikahan saya dengan pemuda bernama Hafiz, seperti yang saya umumkan pada sidang akhbar pada 1 Ogos lalu, dibuat atas sebab-sebab yang terlalu peribadi.

Jujur saya akui, keputusan untuk membatalkan pernikahan ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk saya ambil.

Namun setelah memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya, juga memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT serta membincangkan perkara ini bersama kedua orang tua dan keluarga terdekat saya, saya tekad untuk tidak meneruskan pernikahan dan percaya bahawa keputusan ini adalah yang terbaik.

Sesungguhnya saya yakin bahawa apa yang berlaku ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT dan tentu sekali ada hikmah yang menanti.

Rakan-rakan media yang saya hormati,

Saya berharap kenyataan yang saya keluarkan ini secara tidak langsung akan menjawab pertanyaan segelintir rakan-rakan wartawan yang barangkali sudah menghidu berita ini.
Ketika ini, saya harus mengakui bahawa saya sedang melalui waktu-waktu yang amat sukar dan memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran. Justeru, saya mungkin tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan lanjut daripada rakan-rakan media.

Saya amat berharap dan percaya, rakan-rakan media amat memahami situasi saya ketika ini.

Bagi pihak saya dan keluarga, saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus pada rakan-rakan media yang sentiasa berada di samping saya dalam menyokong perjalanan kerjaya dan hidup saya selama ini. Hanya Allah jua yang dapat membalasnya.

Terima kasih.

Salam hormat,

FARA FAUZANA
4 SEPTEMBER 2016

No comments

Powered by Blogger.