Catatan Sebelum Sahur : London Bridge Is Falling Down?



Catatan Sebelum Sahur : London Bridge Is Falling Down?

Jika ditaip perkataan WHY di ruangan google pada hari ini, carian yang paling masyhur ialah WHY BREXIT. Begitulah betapa hebatnya sumpahan Brexit yang melebar ke seluruh dunia bagi membayangkan betapa ia bukan sahaja merupakan isu setempat United Kingdom tetapi ia merupakan isu yang menjadi perhatian dunia. Ia dipercayai akan mendatangkan kesan khususnya kepada ekonomi negara-negara yang sedang berurusan dengan Britain pada hari ini.

BREXIT atau Britain Exit ialah satu referendum atau pungutan suara yang dicadangkan Perdana Menteri UK, David Cameron selepas pilihan raya pada 2015 bagi mengutip undi rakyat United Kingdom (UK) untuk menentukan sama ada UK kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah (EU). Ia bukanlah kali pertama rerendum berhubung isu ini diadakan di Britain. Pada tahun 1975, referendum yang sama pernah dilaksanakan bagi menentukan keahlian UK dalam Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), badan kerjasama awal dalam kalangan negara Eropah yang kemudiannya dibentuk menjadi EU pada 1993. Pada tahun tersebut, 67 peratus rakyat Britain mengundi untuk Britain kekal dalam EEC.

Kali ini, natijahnya sedikit berbeza, dalam pungutan suara yang bersejarah pada Khamis lalu tersebut, 51.9 peratus atau 17,410,742 pengundi menyokong negara itu meninggalkan EU sementara 48.1 peratus atau 16,141,241 pengundi memilih untuk kekal dalam EU. Ekoran daripada itu, Perdana Menteri David Cameron mengumumkan perletakan jawatannya dari posisi tersebut berkuatkuasa Oktober depan selepas kempennya untuk kekal di dalam Kesatuan ditolak oleh hampir 52 peratus rakyatnya.

Hakikatnya kempen ‘Leave’ dan ‘Remain’ ini mewakili golongan yang berbeza di dalam negara tersebut. Kempen ‘Leave’ lebih didominasi oleh sentimen golongan veteran dan pertengahan yang menyaksikan bagaimana penyertaan Britain ke dalam Kesatuan ini telah mengakibatkan kebanjiran besar-besaran penduduk asing ke negara tersebut. Pada mereka, Great Britain sudah hilang Greatnya, hanya tinggal Britain.

Mengikut rekod, sebelum tahun 1993 iaitu ketika EU masih bergelar Kesatuan Ekonomi Eropah, imigrasi ke UK bersifat minus. Lebih ramai penduduk Britain yang keluar daripada mereka yang berhijrah ke negara tersebut. Namun bermula tahun 1993 sehingga 2014, warga asing yang lahir di Britain meningkat secara mendadak daripada 3.8 juta orang kepada 8.3 juta orang. Dalam masa yang sama, jumlah warga asing yang berhijrah dan menetap di negara tersebut juga bertambah daripada hanya sekitar 2 juta orang kepada lebih 5 juta pada hari ini. Ia membangkitkan kebimbangan penduduk tempatan yang melihat bagaimana India dan Pakistan tiba-tiba berada di tangga pertama dan ketiga tertinggi negara yang mempunyai warga mereka di bumi Britain. Perasaan tidak senang terhadap kebanjiran warga asing ini mendorong warga tua dan pertengahan di negara tersebut mengundi untuk keluar dari EU.

Golongan sedikit muda pula membayangkan bagaimana mereka akan kehilangan hak untuk menetap dan mencari pekerjaan di 27 buah negara Kesatuan Eropah yang lain. Bukan sahaja hak untuk mencari pekerjaan, hak untuk berkeluarga, belajar, melancong dan sebagainya. Jika sebelum ini mereka menikmati keistimewaan selaku anggota negara EU, selepas ini segalanya dibimbangi bertukar menjadi rumit.

Bagaimanpun, hak demokrasi rakyat Britain wajar dihormati. Apakah yang akan berlaku kepada Kesatuan Eropah selepas ini boleh dijangka. Britain sebelum ini merupakan negara tertinggi penyumbang kepada purata GDP Kesatuan Eropah yang merupakan blok ekonomi yang terbesar di dunia berbanding Amerika Syarikat yang mempunyai GDP paling besar untuk negara tunggal. Dengan keluarnya Britain dari Kesatuan ini bakal menyaksikan purata GDP EU akan jatuh mendadak memandangkan Britain merupakan negara yang paling tinggi jumlah GDP di kalangan negara-negara EU.

Tidak hairan jika langkah Brexit ini dicontohi oleh negara-negara lain yang sudah pasti tidak akan mahu memikul mayat hidup. Khabarnya, Greece juga sedang berkira-kira untuk melaksanakan Langkah Greece atau Greexit. :D Tinggallah barangkali negara Turki yang sudah separuh abad mengetuk pintu EU untuk memohon masuk.

Di Malaysia, ramai yang mengharapkan agar nilai mata wang Pound UK menyusut sehingga setidak-tidaknya setaraf dengan US Dollar. Jika ia berlaku, itulah khabar gembira kepada para pelajar yang sedang menuntut ilmu di negara tersebut dengan pembiayaan dari Malaysia. Ia juga khabar gembira kepada kaki travel yang akan menikmati kos pelancongan ke United Kingdom yang lebih murah berbanding sebelum ini. Namun ia berita kurang enak kepada warga kerja rakyat Malaysia di sana yang menikmati bayaran gaji dengan mata wang Pound.

Ironinya, kita membuka dasar TPPA yang menuju ke arah membuka pintu ketika Britain sedang memililh untuk bersikap konservatif. TPPA sekalipun tidaklah dapat disamakan seratus peratus dengan dasar EU, namun ia juga mencetuskan kebimbangan berhubung masa depan negara. Rakyat UK mengambil masa 40 tahun untuk sedar.

Apapun, keputusan rakyat UK wajib dihormati dan itulah keputusan yang dianggap terbaik bagi mereka. Adakah selepas ini London Bridge tidak lagi Falling Down bahkan Rising Up?

- Ahmad Fadhli Bin Shaari, 25 Jun 2016
Ketua Pemuda PAS Kelantan

No comments

Powered by Blogger.