Selepas Undian, TG Haji Hadi Pulang Awal Sebab Tak Sihat.



Oleh: Syed Ahmad Fadhli

Sekilas Info Pengundian di Parlimen

1. Tidak ada jadual waktu yang tepat bilakah ia akan berlangsung kerana ia hanya boleh dibuat setelah perbahasan dan penggulungan selesai., ada masa cepat, ada masanya lambat.

Contohnya: pengundian TPPA hari ini dibuat pada waktu Maghrib

2. Kaedah Pengundian ada dua iaitu:

a) suara majoriti- kaedah ini termudah dan paling kerap digunakan. Speaker hanya perlu bertanya samada usul disetujukan atau tidak, kemudian Ahli Dewan menjawabnya beramai-ramai dengan menyebut SETUJU atau TIDAK.

Namun, keputusan dibuat bukan bergantung kepada nyaring/kuat bunyi suara jawapan yang diberikan tetapi merujuk kepada jumlah pihak yang mempunyai majoriti dalam dewan.

b) belah bahagian- undi direkod satu persatu secara bertulis melalui Ketua Blok tempat duduk yang membuat catatan samada Setuju, Tidak Setuju, atau Berkecuali (tidak mengundi).

3. Undi tidak rahsia kerana tidak ada kertas undi yang perlu diisi oleh setiap orang secara bersendiri sepertimana dalam Pilihanraya Umum.

Rekod pengundian setiap Ahli Dewan dibuat oleh Ketua Blok, dengan menandakan pada kertas senarai nama yang dipegang olehnya.

Dalam keadaan normal, Ahli Dewan akan mengundi mengikut keputusan parti melalui arahan Ketua Whip Parti masing-masing.
Pihak parti pemerintah sentiasa menang kerana mereka adalah Kerajaan yang mempunyai majoriti melainkan ada Ahli Parlimen Kerajaan yang berani untuk menentang arus dengan mengundi sepertimana Pembangkang.

Adakalanya, Usul Kerajaan juga diluluskan sebulat suara apabila Pembangkang sedia mengenepikan perbezaa untuk bersama menyokong Kerajaan dalam isu yang berkaitan, contohnya isu kemanusiaan di Palestin, menentang ISIS, dan tragedi serangan terhadap Kapal Terbang MH 17.

Keterangan Gambar:

Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bergerak keluar setelah beliau selesai mengundi menolak TPPA.

Beliau memaklumkan perlu bertolak pulang dan tidak sempat mendengar keputusan pengundian oleh Speaker kerana kurang sihat.

Ustaz Khalil yang turut berada di situ ketika itu bergerak mengiringi Tuan Guru pulang.

Ketika beliau berbahas semalam pun, saya dapat lihat Tuan Guru agak keletihan dengan nada suara beliau yang agak perlahan.

Walau bermacam perli, cacian, kutukan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, namun tidaklah sesekali ia melemahkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran.

Semoga Tuan Guru terus diberikan kekuatan memimpin kami...

No comments

Powered by Blogger.