Pakar komputer Russia, ulama Islam kerjasama tubuh ‘bot’ internet buru IS di media sosial

MOSCOW, Rabu – Sekumpulan pakar komputer Russia telah bekerjasama dengan barisan ulama Islam membangunkan satu program komputer yang berupaya mengesan akaun media sosial yang digunakan untuk merekrut ahli baru militan IS.

Projek yang dikendalikan oleh Pusat Kajian Undang-Undang dan Politik ini menggunakan program bernama ‘Laplace’s Demon’ yang dibangunkan oleh pakar IT di pusat kajian itu baru-baru ini.

Pengarah pusat kajian, Yevgeny Venediktov berkata, ‘demon’ itu akan mengesan akaun-akaun yang berkemungkinan ada kaitan dengan IS.

Data itu kemudiannya akan dipindahkan kepada pusat kajian Islam dan bahasa Arab.

“Petikan ayat al-Quran, kenyataan dan komen berkaitan ektrem dalam bahasa Arab akan dikumpul dan ditapis oleh program ini,” kata Yevgeny.

Kumpulan penyelidik juga boleh menghantar mesej berbahasa Arab kepada akaun terpilih dan jawapan yang diterima akan dianalisis untuk memastikan pemilik akaun itu pengganas atau tidak.

Selain itu, kumpulan penyelidik ini membuat porgram khas yang mampu mengumpul maklumat yang disimpan dalam komputer pemilik akaun itu.

Timbalan Ketua Kumpulan Veteran Antipengganas, Aleksei Filatov mengalu-alukan inisiatif ini namun berharap pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi membanteras rekrutmen oleh IS.

Penyelidik Pusat Kajian Negara Asia dan Timur Tengah, Arsen Khizayev berkata, pemburuan melalui program ini amat penting dalam mengesan pengganas.

“IS telah menggunakan Internet sebagai alat propaganda dan mereka berjaya mengumpul kira-kira 3,000 penyokong sejak 2014 melalui Internet,” katanya.

Awal minggu ini, pemerhati ekonomi Russia Rosfinmonitoring melaporkan seramai 4,407 rakyat negara itu mempunyai hubungan dengan individu yang terbabit dalam aktiviti keganasan.

Jumlah ini bertambah sekali ganda berbanding 2,826 orang pada tahun 2014.

“Mereka ini terbabit dalam serangan pengganas dan menjadi pemberi sumbangan kepada kumpulan-kumpulan pengganas termasuk IS,” katanya.

Russia telah mengisytiharkan bahawa militan IS dan sekutunya Gerakan Al-Nusra sebagai pertubuhan pengganas pada tahun lepas.

Semua rakyat diharamkan menyertai pertubuhan militan itu dan boleh didakwa jika didapati menyokong kumpulan itu.

Sementara itu, dua pertubuhan Islam Russia telah mengeluarkan fatwa bahawa IS adalah musuh Islam dan semua ahli IS perlu dihukum.

Awal bulan ini, Tentera Udara Russia telah menjalankan operasinya ke atas militan IS di Syria atas permintaan Presiden Bashar Assad.

Serangan yang dilakukan telah memusnahkan puluhan pusat gerakan pengganas, rumah dan pusat pengumpulan bekalan IS. – Agensi

No comments

Powered by Blogger.