Kemelut S'gor: Mesyuarat PAS Pusat pagi ini jadi penentu



KUALA LUMPUR: PAS Pusat mengadakan mesyuarat pagi ini bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang mahu ditukar oleh PKR.

Mesyuarat berlangsung bermula jam 10 pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Utama tingkat 5, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di ibu negara sejak semalam dan akan mempengerusikan mesyuarat pagi ini.

Mesyuarat pagi ini menjadi tumpuan seluruh negara kerana ia dikatakan bakal menjadi penentu kepada penyelesaian kemelut yang sedang berlaku di Selangor.

Ianya juga dikatakan bakal menjadi tanda aras kepada survival politik serta kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, ekoran kemelut yang berlaku ini.

DAP bersetuju dengan cadangan PKR yang menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid yang telah dipecat dari partinya 9 Ogos lalu.

Atas pengalaman sebelum ini, PAS bagaimanapun dikatakan mahu lebih daripada satu nama calon dicadangkan untuk jawatan itu.

Mesyuarat pagi ini dibuat selepas dua kali ditangguhkan sebelum ini iaitu pada 10 dan 13 Ogos lalu.

Dua hari lalu, Lajnah Politik PAS Pusat terlebih dahulu mengadakan mesyuarat bagi menentukan rangka perbincangan mesyuarat PAS Pusat hari ini.

No comments

Powered by Blogger.