Nazir Razak dilantik Pengarah di Khazanah, lepas jawatan CEO KHAZANAH



KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Seri Nazir Razak sebagai Ahli Lembaga Pengarah berkuatkuasa 1 September ini.

Nazir yang ketika ini Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, akan melepaskan jawatan itu pada 1 September ini dan menggalas tugas sebagai Pengerusi CIMB Group pada tarikh sama sejajar pelan peralihan kepimpinan kumpulan itu.
Nazir sudah berkhidmat selama 25 tahun di CIMB Group selepas menyertai jabatan kewangan korporat CIMB Investment Bank pada 1989. Pada 1993, beliau ditukarkan ke cabang pembrokeran kumpulan itu yang mana beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif sebelum kembali ke CIMB Investment Bank sebagai Timbalan Ketua Eksekutif pada 1 Jun 1996.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank pada 1 Jun 1999 dan sudah menjawat jawatan itu selama 15 tahun.

Di bawah kepimpinan Nazir, CIMB sudah berkembang menjadi antara Bank Universal ASEAN utama berikutan beberapa pengambilalihan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, CIMB Group dalam satu kenyataan berasingan mengumumkan membuat pelarasan struktur kepimpinannya, yang mana sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang turut dipengerusikan Nazir akan ditubuhkan. Jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada aspek strategik.

Mengikut CIMB, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group akan diumumkan setelah mendapat kelulusan kawal selia berkaitan.

Dalam pada itu, Nazir akan terus berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Presiden PT Bank CIMB Niaga dan Timbalan Pengerusi CIMB Bank dan akan dilantik sebagai Pengerusi CIMB Investment Bank berkuatkuasa 1 September ini.

No comments

Powered by Blogger.