Alam Flora : Kerajaan Negeri Kelantan Diminta Berhati-hati



Alam Flora : Kerajaan Negeri Diminta Berhati-hati

1. Saya ditanya oleh wartawan berkenaan pendirian Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ekoran pengumuman yang dibuat oleh ahli exco Kerajaan Negeri, YB Dato Haji Abdul Fattah Mahmood minggu lepas bahawa Alam Flora Sdn Bhd akan diberi tanggungjawab menguruskan sisa pepejal di Kelantan penerimaan pelaksanaan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di negeri ini.

2. Suka dimaklumkan bahawa ekoran pengumuman tersebut, pihak DPPNK telah mengadakan pertemuan dengan beliau pada 7 Julai yang lalu khusus bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini. Yang Berhormat Dato Exco telah memberikan penjelasan panjang lebar berkenaan kewajaran langkah yang diambil oleh pihak kerajaan.

3. DPPNK sepenuhnya menyedari kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri sehingga membawa kepada langkah penyerahan pengurusan sisa pepejal ini. Dalam masa yang sama, hasrat murni kerajaan negeri untuk melihat keselesaan rakyat ekoran pengurusan yang lebih efisien tidak dapat dinafikan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan.

4. Bagaimanapun, berikutan rekod kerja Alam Flora yang bermasalah di negeri-negeri lain khususnya di Selangor, DPPNK mengharapkan agar satu kajian yang terperinci perlu dilakukan sebelum kerajaan negeri melakukan penyerahan sepenuhnya kepada Alam Flora untuk menguruskan sisa pepejal. DPPNK suka untuk menyatakan bahawa sebarang masalah yang timbul akibat kegagalan Alam Flora selepas ini akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat ke atas bahu kerajaan negeri.

5. Sesungguhnya hasrat murni kerajaan negeri dalam isu ini tidak dapat dipertikaikan lagi, namun dalam masa yang sama, sikap berhati-hati dalam mengambil sebarang langkah tidak boleh diketepikan. Wajar juga dilihat kembali rekod sebelum ini yang menyaksikan sabotaj berpanjangan dari pihak-pihak yang berkepentingan di dalam Barisan Nasional ke atas kerajaan negeri Kelantan.

Sekian, wassalam.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 11 Julai 2014

No comments

Powered by Blogger.