Perutusan Ramadhan YB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat



Perutusan Ramadhan YB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS

Ramadhan Bulan Meraih CInta Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan nyawa oleh Allah SWT untuk terus menghirup udara di bumi Allah SWT di bulan Ramadhan pada tahun ini. Rahmat dan belas kasihan Allah SWT kepada kita sebenarnya terlalu besar untuk kita balas dan hari ini pula kita masih dipinjamkan dengan nikmat kehidupan yang bila-bila masa sahaja akan berakhir.

Sekali lagi kita berada di dalam bulan Ramadhan yang merupakan pesta ibadah kepada orang-orang Islam. Sering saya sebut dan ulangi, Ramadhan ini janganlah disebut sebagai bulan puasa, ini kerana bukan puasa sahaja ibadat yang diperintahkan di dalam bulan ini. Menyebut Ramadhan sebagai bulan puasa sahaja menjadikan masyarakat silap faham sehingga mereka gagal meraih faedah maksimum daripada anugerah Ramadhan yang disediakan oleh Allah SWT ini.

Masyarakat umat Islam perlu disedarkan sentiasa bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan qiyam, bulan infaq, bulan Al-Quran, bulan kasih sayang dan bulan penuh dengan kebaikan. Pahala yang disediakan oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih di bulan ini untuk ibadat-ibadat yang dinyatakan tadi berlipat kali ganda melebihi pahala yang disediakan di bulan-bulan yang lain.

Ramadhan juga ialah bulan terbaik untuk mencapai cinta Allah SWT. Benar, ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadahan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana takut kita kepada Allah SWT. Di dalam masa yang sama, kita berharap untuk meraih cinta dan ingatan daripada Allah SWT. Namun, adakah di dalam masa yang sama Allah SWT juga menyintai dan mengingati kita? Tidakkah bimbang kita jika hanya kita sahaja yang mengingati Allah SWT namun dalam masa yang sama Allah SWT tidak mengingati kita? Jika berlaku demikian, sebenarnya kita tidak mengingati Allah SWT, hanyalah kita yang menyangka bahawa kita sudah menjadi hamba yang soleh namun hakikatnya tidak soleh pada pandangan Allah SWT.

Raihlah dan carilah cinta Allah SWT di bulan Ramadhan. Jangan hanya kita bertepuk sebelah tangan sedangkan kasih dan sayang Allah SWT gagal untuk kita capai. Manusia yang dicintai oleh Allah SWT insya-Allah akan selamat di dalam meniti ujian di dalam hidup sebagai bekal untuknya menghadapi hari yang dinamakan kematian.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru agar sekalian kita umat Islam memperkukuhkan semangat persaudaraan sesama kita di benua mana sekalipun kita berada. Ukhuwwah Islamiah di antara kita tetap utuh sekalipun berjauhan dipisahkan oleh kedalaman lautan dan ketinggin gunung-ganang. Khas untuk saudara-saudara kita di Mesir yang sedang menghadapi ujian cengkaman diktator yang meruntuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, berdoalah kita sepanjang Ramadhan ini agar Allah SWT menzahirkan kebenaran di atas kebatilan. Tiada tabir kebatilan yang boleh kekal lama melindungi cahaya kebenaran. Lambat-laun ia akan tersingkap jua.

Akhir kata, janganlah dibiarkan Ramadhan berlalu tanpa amal berharga dari kita. Semoga ia menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita dan dengannya kita akan berpuas hati jika ia ditakdirkan menjadi yang terakhir di dalam hidup kita ini.

Sekian, salam Ramadhan.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Bertarikh : 1 Ramadhan 1435H bersamaan 29 Jun 2014M

No comments

Powered by Blogger.