Kerajaan Pulau Pinang mahu bina sekolah Tamil, Putrajaya tolak

GEORGE TOWN, 20 FEBRUARI: Putrajaya menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina sekolah menengah Tamil pertama di negara ini iaitu di Bagan Dalam, Butterworth sehingga mengecewakan ramai pihak termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Mengulas keputusan Kerajaan Persekutuan UMNO-BN itu, Guan Eng berkata, tawaran ikhlas kerajaan negeri untuk menyediakan sebidang tanah bagi membina sekolah berkenaan langsung tidak dipertimbangkan oleh Putrajaya, apatah lagi MIC.

“Kami hanya meminta satu sekolah menengah Tamil. Ini tidak akan menjejaskan sesiapa,” katanya pada sidang media di Komtar, seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Namun beliau masih positif dan berjanji untuk merayu kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum membawa perkara itu lebih lanjut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP juga memberitahu bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai banyak pilihan kecuali harus melalui Putrajaya memandangkan hal ehwal pendidikan malah sekolah swasta pun memerlukan lesen daripada Putrajaya.

“Kami juga tidak cukup dana,” tambah Ahli Parlimen DAP Bagan itu.

Beliau sudah beberapa kali menulis surat kepada Kementerian Pendidikan tahun lalu mengenai permohonan itu serta memberi penjelasan bagaimana sekolah menengah Tamil akan memenuhi keperluan pendidikan komuniti Bagan Dalam, yang merangkumi 24% jumlah keseluruhan penduduk.

Kerajaan Negeri kemudiannya mendapat jawapan melalui surat bertarikh 8 Januari daripada Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof bahawa tiada peruntukan mengikut Akta Pendidikan 1996, bagi membina sekolah menengah Tamil.

Surat berkenaan juga menyatakan akta itu hanya digunakan untuk sekolah menengah bagi memenuhi keperluan pendidikan semua bangsa dalam negara.

Guan Eng juga berkata, Timbalan Menteri Pelajaran P Kamalanathan tidak berkata benar apabila berkali-kali menafikan menerima sebarang surat mengenai permohonan itu daripada kerajaan negeri.

"Beliau berkata tiada surat daripada Pulau Pinang, tetapi Kementerian Pendidikan sebenarnya menghantar jawapan kepada kami. Kamalanathan tidak sepatutnya menipu," katanya.

Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Exco Pendidikan pula berkata, kerajaan negeri sudah memohon kepada BN untuk mengenepikan politik dan memberi sokongan untuk membina sekolah itu.

Malangnya, beliau berkata, parti India juga tidak menyuarakan sokongan mereka, sebaliknya kumpulan pendidik Dong Zong yang menyokongnya. - Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.