10 Tip Untuk Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)



Posted by Irfan Khairi

Menerusi segmen kali ini, mari bersama kita telusuri dan hayati 20 tip untuk murah rezeki mengikut aturan Islam ;-

Tip #1. Menyempatkan diri beribadah

Allah telah menjanjikan bahawa DIA tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis kudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Daripada hadis kudsi ini kita dapat lihat bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah walau apa jua keadaan. justeru sesibuk manapun kita dalam melayari kehidupan ini, susunlah waktu dengan sebaiknya untuk tunaikan solat 5 waktu serta beribadah sebanyak-banyaknya.

Tip #2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah lafaz atau perbuatan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah SWT, yang menjadi penyebab Allah jatuh kasih dan kasihan terhadap hamba-Nya lantas Allah berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Dengan selalu beristighfar, insya-Allah dosa-dosa kecil yang selama ini dilakukan akan dapat dihapuskan dengan izin Allah SWT.

Berdasarkan Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)



Tip #3. Tinggalkan Maksiat

Istighfar tidak bernilai di sisi Allah sekiranya masih selalu berbuat dosa. Dosa-dosa yang dilakukan bukan sahaja akan menjadikan hati resah gelisah, malahan juga akan menutup pintu rezeki. Ia akan menjadi batu penghalang daripada rezeki mengalir kepada kita. Sudah tentu kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku, bukan? Jika para pembaca mengikuti artikel keluaran yang lalu, ada menceritakan tentang Istidraj, iaitu Allah tetap memberikan kekayaan dan kemewahan kepada hamba-Nya walaupun terus-menerus melakukan dosa. Perkara ini harus kita elakkan agar kemurkaan Allah dapat kita hindari..

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“…dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Betapa pentingnya kita menjaga amalan supaya rezeki yang Allah kurniakan kepada kita itu adalah berserta dengan berkat dari-Nya, bukannya berserta kemurkaan-Nya. Na’uzubillah! Ayuhlah kita sama-sama menjaga amalan agar seluruh isi kehidupan kita ini diberkati oleh-Nya.

murah rezeki

Tips #4. Sentiasa ingat Allah

Ketahuilah bahawa dengan banyak mengingati Allah, ia akan membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Kelapangan rezeki seperti ini hanya dapat dinikmati oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :-

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah Ar-Ra’d : ayat28)

Ketenteraman inilah yang sebenarnya menjadi dambaan seluruh umat manusia sama ada yang kaya mahupun yang miskin. Hanya zikirlah yang mampu memberikan ketenangan jiwa zahir dan batin kepada kita.

Tip #5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan dilapangkan rezekinya, maka hendaklah mereka berbakti kepada kedua ibu bapanya serta menyambung tali silaturrahiim. Baginda Rasulullah SAW juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”

(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan kedua ibu bapa juga menjadi sebab terbukanya pintu rezeki, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Hadis Riwayat : al-Hakim dan ad-Dailami)

Maka dengan 2 hadis sahih ini, termaktublah kepentingan kita berbakti kepada kedua ibu bapa kerana mereka yang telah bersusah payah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya menguruskan kehidupan sendiri. Berbaktilah kepada kedua-dua orang tua selagi mereka masih bernafas kerana ia menjadi asbab yang kukuh mengalirnya sungai dan limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

No comments

Powered by Blogger.