Pertukaran dan Penempatan Kakitangan : Kelantan Laksana Dasar Mesra Keluarga



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung pada hari ini 22 Ramadhan 1434H bersamaan 31 Julai 2013M telah membuat keputusan untuk melaksanakan dasar mesra keluarga di dalam menempatkan kakitangan dan pegawai yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.

Dasar ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada kakitangan untuk berkhidmat di lokasi yang berhampiran dengan pasangan mahupun tempat tinggal keluarga masing-masing. Ia bagi memberikan kemudahan untuk kakitangan berinteraksi dan berurusan dengan keluarga masing-masing dengan ruang yang selesa tanpa diganggu oleh hambatan tugas di lokasi yang berjauhan.

Kerajaan Kelantan sepenuhnya percaya bahawa perjalanan urusan keluarga yang seimbang dan selesa akan memberikan motivasi kepada kakitangan meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

Dalam hal ini, pelaksanaan dasar ini berkuatkuasa serta merta dan akan diuruskan dari sudut teknikal oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Sekian.

YANG AMAT BERHORMAT USTAZ DATO AHMAD BIN YAKOB, Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 22 Ramadhan 1434H bersamaan 31 Julai 2013M

No comments

Powered by Blogger.