Video Kejadian Tembakan Pengasas Ambank Kelmarin



SHAH ALAM - Pengasas Arab Malaysian Bank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, terbunuh, manakala isterinya, 49, cedera apabila ditembak di kawasan parkir di kuil Cina Ceylon Kuan Yin Temple, Kuala Lumpur, semalam.

Hussain meninggal di tempat kejadian, manakala isterinya cedera akibat terkena tembakan rambang.

Mereka sedang duduk di situ apabila seorang lelaki menghampiri mereka dan melepaskan beberapa das tembakan. Penembak itu melarikan diri dengan teksi bersama dua lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa terkena dua das tembakan di dada dan rusuk kiri, manakala isterinya terkena satu das di pergelangan tangan kiri dan paha kanan.

“Kejadian itu mungkin ada kaitan dengan urusan perniagaan,” katanya.

Katanya, mayat Hussain dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala isterinya dihantar ke hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Anak terkejut pengasas bank dibunuh


KUALA LUMPUR - Anak lelaki pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi terkejut dengan pembunuhan bapanya di sini hari ini.

"Saya terkejut apabila mendengar tentang kejadian bunuh itu, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan pada waktu siang di Kuala Lumpur," Pascal Najadi kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi telefon dari Eropah.

Sehubungan itu, Pascal, 45, pemegang kerakyatan dua negara iaitu Switzerland dan British, menggesa pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan sewajarnya bagi menahan individu yang terlibat dalam pembunuhan bapanya serta mengheret mereka ke muka pengadilan.

Pascal, yang turut menceburi bidang perbankan, berkata ironinya adalah Hussain Ahmad dibunuh di Malaysia, negara yang amat disayanginya dan dianggap sebagai tanah tumpah darah beliau selama lebih empat dekad.

Hussain Ahmad, 75, maut manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon pada 2 petang.

Mangsa terkena dua das tembakan di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta peha kanan.

Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bersenjata merupakan antara tiga individu yang menunggu Hussain Ahmad di luar tokong berkenaan, yang dikatakan ke situ untuk bertemu rakannya bagi membincangkan urusan jual beli saham.

Pascal berkata beliau mengetahui tragedi yang menimpa bapanya beberapa jam selepas kejadian selain menerima panggilan daripada polis Malaysia berhubung pembunuhan itu.

Hussain Ahmad mengasaskan Kumpulan Perbankan Arab Malaysian pada 1975 sebelum ia bertukar tangan pada 1982 dan dikenali sebagai Arab Malaysian Bank atau Ambank. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.