Pemuda PAS Kelantan ucap tahniah kepada MB baru



KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Negeri Kelantan yang telah dilantik sebagai Menteri Besar selepas mengangkat sumpah pada 6 Mei 2013 yang lalu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun bermula tahun 1990.

"DPPNK menyifatkan pemilihan beliau sebagai Menteri Besar sangat tepat dalam usaha untuk mengekalkan kepimpinan ulama yang telah bermula di Kelantan dengan kepimpinan Tuan Guru pada tahun 1990," kata ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman.

Pada DPPNK, kata Abdul Latif, kepimpinan ulama inilah yang menjadi teras sokongan masyarakat kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk terus menerajui negeri Kelantan untuk penggal keenam berturut-turut.

Datuk Ahmad Yakob selaku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merupakan sosok yang paling sesuai di dalam meneruskan agenda Membangun Bersama Islam yang menjadi teras dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, katanya, DPPNK bersedia untuk menyumbang dalam segenap segi yang diperlukan ke arah memperkasakan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran Menteri Besar yang baru ini.

DPPNK yakin, sokongan dan kepercayaan rakyat tidak akan berbelah bagi kepada kerajaan negeri Kelantan sekalipun Tuan Guru telah berundur diri dari tampuk kepimpinan.

Dalam hal ini, dasar dan teras yang telah diletakkan sebagai asas oleh Tuan Guru sepanjang 23 tahun mentadbir negeri Kelantan pastinya akan terus menjadi garis panduan dalam pentadbiran yang baru.

"Tahniah dan selamat bertugas sekali lagi DPPNK rakamkan untuk Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan Darul Naim," kata Andul Latif.

No comments

Powered by Blogger.