Ketua Ekonomi Bank Islam pertahan analisis memihak Pakatan


Wartawan Sinar Harian


SHAH ALAM - Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Ahmad Tajudin hari ini menegaskan, beliau berpegang kepada analisis yang mencetuskan kontroversi bahawa Pakatan Rakyat (PR) ada kemungkinan boleh menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekali gus membentuk kerajaan pusat.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Azrul Azwar berkata, beliau mengetengahkan pandangannya pada Singapore Regional Outlook Forum tempoh hari secara profesional, jujur dan tanpa memihak mana-mana pihak.

"Saya berpegang kepada analisis saya dan pembentangan saya pada forum (dimaksudkan)," katanya.

Kata Azrul Azwar lagi, beliau menyediakan analisis berdasarkan tiga senario iaitu kemenangan tipis Barisan Nasional (BN), kemenangan tipis PR dan kemenangan besar bagi PR.

PRU13 dijangka akan diadakan Mac ini. Mandat kerajaan pusat berakhir penghujung April.

Sambil menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau ahli PKR, Azrul Azwar berkata, tidak ada alasan munasabah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas dirinya.

"Saya juga memberi notis kepada pemblog-pemblog, ahli-ahli politik dan sesiapa sahaja yang mahu memburukkan reputasi saya dan membuat kenyataan berbaur fitnah berkenaan dengan integriti dan kredibiliti prestasi kerjaya, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan bagi melindungi reputasi saya," kata Azrul Azwar.

Azrul yang telah bertindak sebagai penganalisis di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), dilaporkan telah berkata dalam sebuah forum awam di ibu negara yang "terdapat kemungkinan tinggi" Pakatan Rakyat akan menang dalam PRU13.

Rabu lalu, pengurusan Bank Islam menegaskan, Azrul Azwar telah digantung tugasnya kerana ia mempunyai "asas-asas yang wajar" untuk mempercayai yang beliau telah melanggar dasar dalaman bank.

Perkara berhubung dengan pelanggaran dasar itu akan diketahui sebaik sahaja siasatan selesai, kata Bank Islam.

Sementara bank itu terus mengulangi yang pandangan politik dan komen Azrul Azwar tidak seharusnya dikaitkan dengan bank berkenaan, ia terus ingin menegaskan yang penggantungan beliau tidak ada kaitan dengan tindakannya menyuarakan pandangan politik peribadi beliau.

Dalam kenyataanya, Azrul Azwar juga berkata, adalah satu tragedi bagi demokrasi Malaysia apabila pendapat yang tidak memihak kepada parti yang memerintah membawa kepada tindakan disiplin dan membuka kepada "pembunuhan karakter" oleh sesetengah pihak.

"Saya percaya kebenaran dan keadilan akan terbela kelak," katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.