Pemegang konsesi AES bakal untung RM700 juta setahun



KUALA LUMPUR 14 OKT: Kementerian Pengangkutan digesa menggantung pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana ia hanya memberi keuntungan kepada pemegang konsesi dan bakal membebankan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, melalui pemasangan 831 kamera di seluruh negara, syarikat konsesi berkenaan – ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd – mampu mendapat balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar sehingga RM700 juta.

“Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun kedua-dua pemegang konsesi akan beroleh keuntungan RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat ketiga – jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun,” kata Lim ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP di sini

Memetik The Malaysian Insider, beliau berkata daripada skim pembayaran yang diberi kepada pemegang konsesi tersebut menunjukkan tiga peringkat kaedah bayaran dengan peringkat pertama untuk setiap lima juta saman pertama RM16 akan dikutip oleh konsesi dengan kadar RM80 juta.

Bagi peringkat kedua pembayaran sejumlah RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50 peratus iaitu berjumlah RM270 juta dan kerajaan bakal mendapat jumlah yang sama

Peringkat ketiga pula sejumlah 7 5 peratus akan dikutip daripada keuntungan seterusnya dengan kerajaan akan mengutip jumlah yang berlebihan

Media sebelum ini melaporkan sejumlah 63,558 kesalahan trafik dicatatkan lapan hari pertama sejak pelancaran AES, 23 September lalu dengan 14 kamera dipasang di kawasan-kawasan kerap berlaku kemalangan.

Selain keuntungan RM700 juta setahun terdapat juga tanda tanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi untuk pemasangan 831 kamera

“Adakah ia bernilai RM600 – RM800 juta seperti yang didakwa oleh kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan dengan RM722 000 – RM962 000 setiap kamera,” soal Lim lagi.

Justeru beliau mengharapkan agar Kementerian Pengangkutan menunaikan tanggungjawab umum dengan menjelaskan soalan-soalan ini dan sama ada ia dilakukan melalui tender terbuka

No comments

Powered by Blogger.