Banyak Program Kementerian Wanita Tidak Dinilai Audit Negara

 http://www.selangorku.com/wp-content/uploads/2012/10/Laporan-Ketua-Audit-Negara-2011-Coverpage.jpg

Norhayati Umor


KUALA LUMPUR 17 OKT : Banyak program yang membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak diberi penilaian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Katanya, banyak program yang dilaksanakan tidak dibuat penilaian terhadap keberkesanan perlaksanaannya.

“Contohnya, bantuan kebajikan. Bantuan itu tidak menyeluruh, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya untuk rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau menambah perkara itu merupakan satu kelemahan dan kegagalan yang perlu diberi perhatian kementerian terbabit.

Audit Negara yang dibentangkan Isnin lalu melaporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kelemahan apabila gagal menyelesaikan hal berbangkit yang dikemukakan dalam laporan audit 2009.

Mengikut laporan itu, tiga skim di bawah JKM diaudit iaitu bantuan orang tua, elaun pekerja cacat dan bantuan kanak-kanak.

“Pengauditan yang dijalankan antara bulan Jun hingga September 2011 mendapati masih terdapat kelemahan dalam pengurusan program ini di mana isu yang pernah dibangkitkan dalam LKAN 2009 masih lagi berlaku di lapan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian (PKMD/J/B) yang dilawati,” kata laporan itu.

Antara kelemahan pentadbiran yang dinyatakan ialah proses siasatan bagi 114 (33.4 peratus) daripada 341 permohonan tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam piagam pelanggan.

“Pemakluman keputusan bagi 275 (57.1 peratus) daripada 482 permohonan melewati piagam pelanggan yang ditetapkan dengan kelewatan antara 8 hingga 10 hari.

“Wang bantuan yang tidak dapat diagihkan berjumlah RM1.58 juta melibatkan 778 baucar lewat dimasukkan ke dalam akaun bank kerajaan di antara 7 hingga 245 hari,” laporan itu dipetik.

No comments

Powered by Blogger.