Tanah Yang Beri Untuk Perkhidmatan Keretapi Tetapi Tidak Digunakan Adalah Milik Negeri Kerajaan Selangor

Kerajaan Selangor memandang berat laporan berhubung cadangan kerajaan Persekutuan untuk menswastakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) yang dimiliki Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary.

Menerusi beberapa laporan akhbar sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dilaporkan dalam perancangan untuk menswastakan aset dan pegangan tanah milik KTMB yang dianggarkan bernilai RM50 billion kepada syarikat berkenaan.

Kerajaan Selangor bimbang dengan rancangan penswastaan ini yang mirip kepada penswastaan air di Selangor yang memberi keuntungan kepada individu dan syarikat tertentu di atas kos yang ditanggung rakyat.

Kerajaan Negeri bimbang sekiranya pemusatan operasi pengangkutan awam ini kepada individu dan syarikat tertentu akan menyebabkan rakyat terus menanggung beban dengan kenaikan kos hidup.

Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah bersetuju supaya kerajaan Selangor mengambil tindakan tertentu bagi melindungi kepentingan rakyat kerana aset dan hartanah KTMB adalah milik rakyat.

Justeru, Kerajaan Selangor hari ini membuat keputusan untuk menfailkan kaveat ke atas semua tanah yang didaftarkan atas nama KTMB dan kini berada di bawah kawalan Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Kaveat ini bagi menghalang sebarang urusan ke atas tanah KTMB seperti penjualan, pemindahan dan dicagarkan.

Kita juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan butiran dan syarat-syarat perjanjian ini bagi membuktikan beliau mengamalkan ketelusan selaras dengan transformasi pentadbiran yang beliau war-warkan.

Kita mengambil langkah ini demi menjaga hak rakyat dan mengelak aset-aset ini jatuh ke tangan individu dan syarikat swasta tertentu seperti yang berlaku sebelum ini dan akhirnya merugikan rakyat serta negara.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.