Pijak Gambar Pemimpin Negara Perbuatan Melampau


Bersama ini disertakan teguran dan kritikan yang dibuat oleh pimpinan UMNO/BN berhubung peristiwa memijak gambar DS Najib oleh beberapa peserta 'Janji Bersih' pada malam 30hb Ogos. PAS sememangnya menganggap ianya tindakan liar yang tidak menepati politik Islam yang seharusnya menunjukkan contoh dan akhliak yang tinggi. Kami menyeru semua ahli, penyokong dan pengikut PAS dan parti-parti politik PR supaya jangan terikut-ikut dengan corak politik tidak berakhlak yang ditaja oleh UMNO/BN. Mereka bukan guru kami dan oleh itu budaya politik samseng dan tidak berakhlak itu perlu dijauhi sekiranya kita ingin membawa perubahan dan perbezaan. Bersama ini turut disiarkan gambar-gambar penyokong UMNO memijak gambar saya, DSAI, LGE dan TS Abd Khalid Ibrahim yang telah berlaku jauh lebih awal tanpa apa-apa teguran oleh pimpinan UMNO. Jangan kita terikut dengan cara-gaya mereka.

Kenyataan pimpinan UMNO yang jelas hipokrit adalah seperti berikut:-

Tindakan segelintir pihak memijak gambar (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor) disifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara itu dan seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Politik kebencian itu satu perkara yang cukup merbahaya dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama,” kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.








Hishammuddin berkata perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, ada peserta membawa ‘bendera baharu’ yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.

Berita ihsan UTUSAN, gambar sekadar hiasan dari sekitar Internet.
-Pejabat YB Khalid Samad-

No comments

Powered by Blogger.