Majlis Syura Ada Sebab. Pimpinan Bijak!

Majlis Syura tak sentuh isu Nasharudin
Arashy Azim

KUALA LUMPUR - Majlis Syura, yang menjadi tumpuan banyak pihak - dari dalam dan luar Pas, selesai bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Sehubungan itu, Nasharudin yang turut menghadiri mesyuarat malam ini yang berlangsung lebih dua jam, kekal sebagai ahli Majlis Syura.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi.

"Mesyuarat hari ini membincangkan tentang calon pilihan raya yang ke 13," ujar Abdul Hadi.

Terdahulu Nasharudin kelihatan tiba di ibu pejabat Pas, di Jalan Raja Laut, jam 8.55 malam tadi.

Pemerhati dan kebanyakan pemimpin kanan parti itu yakin beliau akan 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.

Media telah menanti kedatangan beliau sejak jam 7 petang tadi.

Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura, dilihat meninggalkan bangunan ibu pejabat Pas jam 9.15 malam, selepas mengetuai mesyuarat bulanan kira-kira 20 minit.

Difahamkan mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Nasharudin menjadi tumpuan ekoran  gesaan beliau, yang juga Ahli Parlimen Bachok, agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud.

No comments

Powered by Blogger.