Kereta nasional tetap murah tanpa duti eksais


Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: July 28, 2012

SHAH ALAM - PKR menegaskan kereta buatan nasional akan tetap lebih murah berbanding kereta import, walaupun cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan duti eksais dilaksanakan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, duti eksais adalah cukai menyeluruh yang dikenakan ke atas sekumpulan barangan tanpa mengira ia dihasilkan di dalam atau di luar negeri.

“Ini bermakna, hampir semua kereta dijual oleh Proton atau Perodua, mempunyai sekurang-kurangnya 85 peratus cukai eksais dan cukai jualan,

"Perkara ini sama berlaku terhadap model-model yang dijual oleh Honda, Toyota dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sekiranya rombakanstruktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan, harga kesemua model kereta termasuk Proton, Perodua, Toyota dan Honda akan turun.

“Oleh yang demikian, harga kereta Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model.

“Berbanding kereta- kereta lain (seperti Honda, Toyota dan lainlain) yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara
purata,” katanya.

Beliau berkata, PKR telah kaji secara terperinci mekanisme rombakanstruktur cukai, bagi memastikan penghapusan
cukai eksais mampu diganti dengan sumber pendapatan baru.

“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan perkara ini minggu depan," katanya.

Sebelum ini, PKR menyenaraikan janji menghapuskan cukai eksais bagi kereta yang dijual di Malaysia sebagai salah satu agenda utama dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk Pilihan Raya Umum ke–13.

No comments

Powered by Blogger.