SPRM Digesa Siasat Dakwaan Tawaran RM5 juta Lompat Parti

SHAH ALAM 30 JUN : Pemuda PAS mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke BN pada tahun 2010. Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah. “Meskipun beliau (Azan) mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” kata Riduan dalam kenyataan medianya. Menurut Riduan, tugas sebagai Ahli Parlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata. “Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini. “Ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya. Justeru, siasatan menyeluruh perlu dilakukan termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya. “Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.