KSN baru sokong BN?



IPOH, 25 JUN: Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru telah memalukan kerajaan dan semua kakitangan awam kerana menyokong Barisan Nasional secara terbuka.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata, sikap Ali itu membuktikan beliau bukan seorang yang neutral.

“Sebagai seorang penjawat awam tertinggi di negara beliau harus mengetahui tentang prinsip neutraliti yang didokong oleh kakitangan awam.”

“Tetapi, beliau telah membuat satu kenyataan yang bercanggah dengan etika penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan.Menurutnya, Ali telah dilaporkan oleh media sebagai berkata, “Sebagai kakitangan awam, kita perlu taat kepada Raja dan kerajaan. Ianya penting supaya kita sedar peranan sebagai kakitangan awam dan melaksanakan tugas kita dengan sempurna”.Sivakumar menjelaskan, setiap rakyat Malaysia harus taat kepada Raja dan Perlembagaan tetapi tidak perlu setia kepada parti politik yang dipilih menjadi kerajaan melalui proses pilihan raya.

“Tidak ada sebab kita mesti taat setia kepada kerajaan yang memerintah. Apabila sesuatu kerajaan yang memerintah telah keluar dari landasan kebajikan, amalan korupsi berleluasa, rakyat merana kerana masalah sosio-ekonomi, penyelewengan dibuktikan dan sebagainya, maka adalah wajar untuk menukar kerajaan yang memerintah.

“Rakyat boleh memilih satu kerajaan baru melalui proses pilihanraya. Penjawat-penjawat awam yang juga merupakan ‘rakyat yang berhak mengundi’ boleh membuat pilihan mereka tanpa sebarang desakan dan paksaan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Sivakumar yang juga ADUN Tronoh berkata, Ali yang telah mengugut kakitangan kerajaan untuk menyokong BN sepatutnya meletak jawatan dengan segera kerana rakyat akan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran beliau yang nyata sekali menuju satu hala.

“Beliau juga ada menyebut ‘janji kosong’ pembangkang…Mana dia tahu pembangkang buat janji kosong? Pembangkang belum memerintah negara ini untuk membuktikan kewibawaannya,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan Ali bahawa kerajaan boleh berubah tetapi kakitangan awam akan terus menjawat jawatan mereka.

“Penjawat awam adalah jentera pelaksana polisi awam yang digariskan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan melalui mandat yang diberi oleh rakyat.

“Apabila Ketua Setiausaha Kerajaan telah membuat satu pendirian pro Barisan Nasional, beliau tidak layak memegang jawatan itu lagi.

“Apa akan berlaku apabila Putrajaya ditawan oleh Pakatan Rakyat sedangkan Ketua Setiausaha Negara adalah orang kuat dan setia kepada Barisan Nasional? Ini akan menimbulkan banyak masalah kepada kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya,” ujar beliau.

Menurut Sivakumar, BN risau penjawat awam yang merangkumi lebih kurang 1.4 juta orang akan membuat satu perubahan yang besar dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya, BN sudah mula merasakan pola perubahan itu apabila ‘fixed deposit’ (pengundi tegar BN) mereka semakin hari semakin berkurangan.

Oleh yang demikian, jelas beliau, BN kini cuba mengugut penjawat-penjawat awam melalui Ketua Setiausaha Negara yang baru dilantik. –

No comments

Powered by Blogger.