Dituduh dedah rahsia kerajaan, Guan Eng saman Utusan, NST, Perkasa

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah memfailkan saman fitnah bernilai RM15 juta terhadap dua akhbar arus perdana dan pemimpin Perkasa di atas tuduhan palsu kononnya beliau mendedahkan rahsia negara kepada parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Pernyataan tuntutan beliau yang diedarkan kepada wartawan di Parlimen hari ini menyebut bahawa tuduhan liar tersebut hanyalah sebahagian daripada agenda Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kuasa di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

United Malays National Organisation (UMNO) memiliki kepentingan besar dalam kedua-dua akhbar New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia melalui Media Prima Sdn Bhd, justeru mempunyai kemampuan untuk melakukan manipulasi politik terhadap berita-berita yang disiarkan untuk kepentingan politiknya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menamakan kedua-dua akhbar tersebut bersama dengan Pegawai Penerangan Perkasa dan ahli UMNO, Ruslan Kassim; presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Pengarang Kumpulan NST Syed Nazri Syed Harun dan Ketua Pengarang kumpulan Utusan, Abdul Aziz Ishak sebagai defendan-defendan.

Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM15 juta, beserta permohonan maaf di muka depan akhbar berkenaan, serta akujanji daripada akhbar tersebut untuk tidak lagi menyiarkan fitnah terhadap beliau; selain tuntutan kos dan relif yang difikirkan patut oleh pihak mahkamah.

Pernyataan tuntutan beliau juga mendakwa bahawa Barisan Nasional cuba memburukkan nama baik Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang dihormati dan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang beliau menjadi Ketua Menteri.

Fitnah tersebut dilihat cuba untuk mengelirukan pengundi supaya percaya dan kemudiannya tidak menyokong beliau dalam pilihan raya umum akan datang.

NST melaporkan bahawa Perkasa mendakwa bahawa terdapat sebuah majlis makan malam diatur untuk tiga personaliti Malaysia, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi ECM Libra Datuk Seri Kalimullah Hassan serta ahli politik Singapura, sambil mempersoalkan motif majlis tersebut yang didakwa turut dihadiri Datuk Mohamad Azman Yahya, Ahli Lembaga Pengarah MAS.

Laporan akhbar-akhbar berkenaan memetik Ruslan Kassim sebagai mendakwa kononnya rahsia kerajaan Malaysia telah dibocorkan kepada pemimpin PAP dalam sebuah majlis makan malam,
Akhbar-akhbar NST, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia kemudiannya meminta maaf kepada Datuk Seri Kalimullah Hassan atas dakwaan tidak berasas yang dibuat tetapi tidak meminta maaf kepada Guan Eng. – Roketkini.com

1 comment

6803man sarawak said...

Baguz lge.saman demi kebenaran dan keadilan

Powered by Blogger.