Menteri ghairah lelong plat kenderaan, rakyat sengsara skandal berbilion ringgit

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang dituntut oleh rakyat ialah penyelesaian skandal KLIA2 yang bernilai RM3.9 billion, skandal RM12.5 billion PKFZ dan skandal RM12.49 bilion lebihan kos projek landasan keretapi berkembar EDTP.

Tetapi yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ialah mendabik dada kerana berjaya menjadi penjual nombor plat kenderaan WWW.

Inilah kehebatan seorang Menteri dari MCA dan Barisan Nasional yang diamanahkan oleh negara untuk menjaga kepentingan rakyat, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“Rakyat Malaysia tidak perlukan seorang Menteri Pengangkutan yang cuma berminat melaporkan jumlah lelongan nombor plat WWW daripada menyelesaikan isu besar yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kong tidak berwibawa kerana gagal melindungi dan mempertahankan kepentingan awam melibatkan isu skandal berbilion ringgit, sebaliknya, beliau telah mengadakan beberapa sidang akhbar bagi mengumumkan nilai rekod bidaan tertinggi bagi plat kenderaan WWW yang mencecah RM11.3 juta seperti mana yang dilaporkan Bernama.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berlata, Kong sepatutnya menjelaskan kepada rakyat tentang kenaikan mendadak nilai “terminal kos rendah” KLIA2 dari RM1.7 billion pada 2007 kepada RM3.9 billion tahun lalu adalah akibat penukaran tapak KLIA2 ke kawasan paya gambut.

“Walaubagai mana pun, kenaikan RM2.2 billion tersebut yang membebankan rakyat dijawab Kong yang hanya berkata ‘saya tidak mempunyai jawapan kerana keputusan tersebut tidak dibuat oleh Kementerian Pengangkutan’, ” tambah beliau.

Pua juga berkata, dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kong yang juga Setiausaha Agong MCA telah mengarahkan bayaran diteruskan kepada pemegang saham Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Sedangkan, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) sendiri telah menyaman KDSB sebanyak RM1.6 billion di atas tuntutan berlebihan dan penipuan, tambahnya. Sebaliknya, beliau berkata, Kong pula menuduh PKA dengan mengatakan bahawa setiap jumlah yang dibayar adalah atas nasihat PKA walau pun PKA mengarahkan untuk menghentikan bayaran,” ujarnya.

Yang terkini, laporan Business Times yang mendedahkan bahawa MMC-Gamuda telah menuntut arahan perubahan kerja (VO) sebanyak RM1.5 billion dari kerajaan bagi lebihan kos Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Ipoh-Padang besar. “Walau pun ia dinafikan oleh MMC-Gamuda, mereka tetap mengakui bahawa tuntutan “perbelanjaan dan kerugian” tersebut adalah disebabkan oleh kerajaan sendiri. “Nilai projek EDTP ialah RM12.49 billion dan kenaikan sebanyak RM1.5 billion bermaksud kenaikan 12% daripada kos asal,” kata Pua.

Menurutnya, semua ini perlu dijelaskan oleh Kong tetapi pemimpin MCA itu terus membisu walau pun sedar segala skandal tersebut telah menyumbang kepada masalah ekonomi negara kerana wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion ringgit telah disalah guna dan dibazirkan. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.