Anwar cabar Najib debat umum

Oleh: NURUL AINI MOHAMED ALI
FAKHRURRAZI USULDIN

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa di mahkamah hari ini, mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdebat secara umum dengannya mengenai isu pilihan raya yang adil dan bersih.

Ketua Umum PKR ini berkata, Najib perlu berdepan dengannya bagi menjelaskan perkara itu kepada rakyat dan jangan menggunakan mahkamah bagi cubaan menghalangnya daripada berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Anwar, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan mengingkari perintah mahkamah majistret dan menghasut penyokong demontrasi membuka sekatan besi halangan.

Anwar, Azmin dan Badrul didakwa secara berasingan menyertai suatu protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara jenayah yang dibuat oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April 2012.

"Mereka tidak boleh menggunakan tuduhan ini bagi menghalang dan memalukan kami dan kami akan melawan tuduhan itu," kata Anwar kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar berkata dakwaan itu seolah-olah menyalahkan semua yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 lalu dan menganggap semua yang terlibat merupakan penjenayah dan dakwaan itu jelas berunsurkan politik.

"Ini membuktikan dendam kesumat beliau (Najib) dengan menggunakan tuduhan ini bagi membataskan pergerakan kami pada PRU13 nanti," katanya.

Anwar juga berpendapat tuduhan itu juga bagi mengelak daripada membincangkan mengenai isu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

No comments

Powered by Blogger.