Akademi Undang2 ganti Majlis Peguam bercanggah Akta Profesion

May 18 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 18 Mei: Cadangan Umno BN mahu menubuhkan Akademi Undang-Undang sebagai alternatif kepada Majlis Peguam bercanggah dengan bidang kuasa yang termaktub dalam Akta Profesion Undang-undang 1976.

Sambil mengecam cadangan itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, akademi itu bakal menafikan konsep kebebasan berpersatuan serta mengelirukan masyarakat terhadap peranan badan tersebut.

Katanya, Umno BN tidak faham konsep pembahagian kuasa dan semangat profesionalisme serta tidak matang menangani perbezaan pandangan.

"Umno BN jahil terhadap kuasa pemantauan daripada masyarakat sivil di bawah sistem demokrasi yang ada.

"Tindakan unilateral tersebut menunjukkan mereka tidak berupaya menangani perbezaan pendapat di kalangan masyarakat sivil," katanya dalam satu kenyataan.

Khai Loon berkata, cadangan kerajaan yang mahu menghidupkan kembali Rang Undang-Undang (RUU) Akademi Undang-Undang 2002 setelah dua kali diketepikan meggambarkan imej buruk sistem demokrasi.

Menurut beliau, tindakan terdesak itu membuktikan Umno BN hanya mahu badan profesional memihak dan bersetuju dengan segala tindakan kerajaan.

"Majlis Peguam begitu kritis dalam isu salah guna kuasa. Apakah badan ini boleh membutakan mata dan berbisu terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan dan polis?" soalnya.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mahu badan peguam alternatif ditubuhkan.

Ia disebabkan Majlis Peguam meluluskan usul tergempar mengutuk keganasan polis sewaktu mengendali Himpunan Bersih 3.0, pada mesyuarat agung tergempar (EGM), 11 Mei lalu.

Seramai 939 menyokong dan hanya 16 menolaknya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut melabelkan badan profesional yang dinaungi lebih 12,000 ahli itu sebagai parti Pembangkang.

No comments

Powered by Blogger.