Terima surat saman artis, Zuraida tekad bawa pendedahan ke SPRM


Keadilan Daily

SHAH ALAM 24 April: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin akan membawa kes dakwaan rasuah RM1.5 juta yang diterima Zahida Rafik ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas berakhir perhimpunan Bersih 3.0.

Menegaskan tidak gentar disaman pelakon wanita itu, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau sudah menerima surat daripada peguam Zahida, Muhammad Shafee Abdullah.

"Kalau bukan sewenang-wenang buat pendedahan. Kita buat sebab kita ada cukup bukti. Kita tak sebodoh untuk keluarkan kenyataan tanpa bukti dan biar orang saman kita.

"Kita tunggu dalam masa terdekat. Kita akan bawa hal ini ke SPRM. Di sana akan menyaksikan lebih banyak rahsia terbongkar!" katanya pada sidang media, hari ini.

Surat bertarikh 23 April itu menuntut supaya beliau berhenti membuat kenyataan media berkenaan isu berkenaan dan menarik balik kenyataan terdahulu serta meminta maaf.

Jika gagal berbuat demikian dalam masa tujuh hari, surat itu menyatakan Zuraida berdepan prosiding undang-undang.

Zuraida sebelum ini mendedahkan pelakon itu menerima RM1.4 juta daripada Datuk Seri Shafie Apdal sepanjang hubungan 'mesra' mereka.

Transaksi itu didakwa berlaku pada Oktober 2011 iaitu RM36,000 dan RM26,000, November 2011 (RM118,000), Disember (RM333,000) dan Januari 2012 (RM510,000).

Beliau turut mendedahkan Zahida mempunyai kereta mewah BMW 6 Series, Porsche, Toyota Harrier dan rumah bernilai RM2.9 juta.

Bagaimanapun, Zahida dan Shafie secara berasingan menafi semua dakwaan berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.