Ismail: Kemelut tak jejas hubungan saya dan MB


Oleh: ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Kemelut membabitkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalannya, Dr Ismail Salleh diyakini tidak akan menjejaskan hubungan dalam parti mahupun pentadbiran.

Ini diakui sendiri oleh Ismail, yang menyifatkan perbezaan pendapat antaranya dengan Azizan yang juga Menteri Besar, adalah lebih kepada soal pentadbiran.

“Saya tiada masalah untuk bekerja bersama Azizan selepas ini. Isu sebelum ini tidak akan jejaskan hubungan yang terjalin antara saya dan Azizan. Itu hanya persepsi masyarakat dan pihak luar yang tidak faham konsep berbeza pandangan dalam pentadbiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ismail berkata demikian apabila diminta mengulas sejauh mana hubungannya dengan Azizan terjejas selepas kemelut tercetus, yang turut menjadi persoalan ramai, bagaimana kedua-duanya akan ‘bersemuka’ setiap kali bertemu dalam mesyuarat parti mahupun pentadbiran.

Kemelut tercetus apabila Ismail dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi enggan dilantik semula sebagai Exco ekoran sering berselisih pendapat dengan Azizan. Namun keputusan Pas Pusat memaksa kedua-duanya kembali sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Ismail sebaliknya, meminta semua pihak bersikap lebih terbuka dalam menerima pandangan berbeza membabitkan pemimpin dalam kerajaan.

“Beza pendapat dalam sesuatu perkara tidak semestinya kita tentang, tak sokong atau tak boleh bekerjsama. Sudah sikap orang Melayu apabila pendapat tak sama bermakna ia suatu kesalahan, sepatutnya perbezaan itu dirai dengan dibawa berbincang secara musyawarah,” katanya.

Menurutnya, konsep dalam pentadbiran membabitkan perbezaan pandangan dan idea perlu diperbetulkan agar setiap pihak bebas untuk menyalurkan pandangan masing-masing.

“Beza pandangan sepatutnya dirai dalam Islam, selain memperlihatkan kita mempunyai banyak idea, bukan bermaksud kita bergaduh sesama sendiri,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.