Annuar Musa: Azzuddin tiada kuasa buat kenyataan


Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Tan Sri Annuar Musa menegaskan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad tidak wajar mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau telah dipanggil untuk menghadap Jawatankuasa Tatatertib badan itu.

Timbalan Presiden FAM ini berkata, Azzuddin tidak diberikan kuasa untuk mengeluarkan kenyataan media dan berharap Setiausaha Agung itu tidak dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin ekoran tindakannya.

“Setahu saya, Jawatankuasa FAM tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk membuat sebarang kenyataan akhbar apatah lagi mendedahkan secara terperinci pertuduhan sebelum ianya sampai kepada saya.

“Lagipun buat masa ini Presiden berada di luar negara dan saya adalah antara pegawai tertinggi yang ada dalam negara untuk dirujuk,” kata beliau dalam laman Facebooknya, petang ini.

Annuar berkata demikian mengulas laporan media hari ini bahawa Jawatankuasa Tatatertib FAM kelmarin telah memanggilnya menghadap FAM berhubung kenyataannya mengenai prestasi skuad kebangsaan ketika Majlis Penutup Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab MSL, Selasa lalu.

Azzuddin dipetik berkata, surat yang dihantar melalui faks dan e-mel itu lebih bertujuan kepada perbincangan.

“Kita akan menunggu maklum balas timbalan presiden sehingga 23 Mac ini. Sekiranya beliau tidak mengaku salah, barulah kita akan meneruskan siasatan dan mengadakan pertemuan dengannya 29 Mac nanti,” kata Azzuddin kepada Sinar Harian.

Dalam tulisannya, Annuar juga berkata, beliau masih lagi belum menerima sebarang surat yang telah dinyatakan oleh setiausaha agung itu.

“Mungkin kerana saya masih lagi di Ipoh sementara itu pula pejabat saya di Kota Bharu cuti pada hari Jumaat dan Sabtu manakala KL pula cuti hari sabtu dan ahad jadi saya perlu mencari surat itu dulu sebelum memberi sebarang komen,” katanya.

Annuar yang dipetik dari laman sosialnya juga berkata, beliau berharap Setiausaha Agung itu tidak akan dibawa ke jawatankuasa disiplin kerana telah membuat kenyataan media.

No comments

Powered by Blogger.