Tiada komplot jatuhkan MB Kedah - Phahrolrazi

Muslim Abdul Razak, Warta Kedah,

ALOR SETAR, 28 Feb: Laporan kononnya ada gerakan yang diketuai oleh Phahrolrazi Zawawi untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak hanyalah tuduhan semata-mata dan merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai khabar angin menyatakan beliau mengetuai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Tandop baru-baru ini.

“Saya bukanlah individu yang mengetuai gerakan tersebut seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Saya tidak ada sebarang gerakan ke arah itu, kerana saya hanyalah pimpinan di peringkat tertinggi PAS Kedah dan juga menyertai gerakan dalam Parti PAS kawasan saya.

“Selain itu, komplot yang berkaitan dengan diri saya adalah tidak berasas dan saya tidak tahu pula ada dalang seperti yang dikatakan, sedang bergerak aktif menjatuhkan Ustaz Azizan," jelas beliau sebagaimana dilaporkan Warta Kedah, lidah rasmi kerajaan negeri Kedah.

Katanya lagi, sama ada ada dalang atau tidak di sebalik spekulasi ini, beliau tidak mengetahuinya dan saya juga tidak mengenali dalang yang dimaksudkan.

Beliau juga menafikan bahawa kononya beliau kecewa dengan pentadbiran dan pimpinan Ustaz Azizan.

Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail tidak mengangkat sumpah exco hari ini apabila majlis mengangkat sumpah berjalan.

No comments

Powered by Blogger.