Peniaga tarik balik saman, ketepi perintah injuksi terhadap PKNS

SHAH ALAM - Seramai 100 peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menarik balik saman serta perintah injunksi terhadap perbadanan itu berhubung isu kenaikan sewa premis perniagaan terbabit.

Peguam Kamarudin Ahmad berkata, peniaga berkenaan membuat keputusan itu selepas mencapai persetujuan dengan pihak PKNS mengenai tuntutan saman yang difailkan Persatuan Peniaga kompleks tersebut pada hujung tahun lepas.

"Kita telah tarik balik saman dan ketepikan perintah injunksi pagi tadi selepas dipersetujui oleh para peniaga PKNS," katanya.

Beliau berkata ekoran perkembangan terbaru itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman tersebut serta mengetepikan perintah injunksi terhadap PKNS.

Pada 14 Disember lepas, peniaga berkenaan memperoleh perintah injunksi bagi menghalang PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu sebanyak 70 hingga 100 peratus mulai tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Peniaga PKNS Amran Yahya berkata satu perjumpaan telah diadakan pada 8 Februari lepas dengan Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS Noraida Mohd Yusof dan satu persetujuan telah dicapai berhubung isu kenaikan sewa.

"Pihak PKNS memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan sewa sehingga persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak iaitu para peniaga dan PKNS," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, isu itu akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah PKNS pada 28 Februari ini dan perbadanan tersebut juga berjanji mengkaji semula kenaikan sewa pada kadar baru yang berpatutan.

Amran turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang prihatin dengan isu berkenaan.

Noh berkata kerajaan BN berjanji tidak akan menaikkan kadar sewa di premis berkenaan sekiranya berjaya memerintah semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pada 15 Januari lepas, Noh turut mengumunkan BN Selangor akan membiayai kos guaman berjumlah RM50,000 dalam kes itu.

Sementara itu, Noraida berkata PKNS bersetuju menangguhkan kenaikan sewa premis terbabit selepas peniaga menarik balik saman tersebut serta mengetepikan perintah injunksi terhadap perbadanan berkenaan.

"Ia merupakan keputusan bersama antara pihak PKNS dan peniaga, kita akan teruskan rundingan sehingga kedua-dua pihak puas hati dan bersetuju," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengesahkan isu kenaikan sewa itu akan dibawa ke peringkat atasan pengurusan PKNS dalam satu mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 28 Februari ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.