Logo 1Malaysia : K’jaan sedia tanggung kerugian pengilang?

KUALA LUMPUR 15 Feb: Pemuda Pas mempersoalkan kesanggupan kerajaan menanggung kos kerugian pengilang sekiranya logo 1Malaysia diwajibkan terhadap tiga barang kawalan, kata Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitarnya, Mohd. Firdaus Jaafar.

Beliau merujuk arahan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mewajibkan pengusaha tepung, gula dan minyak masak – memaparkan logo 1Malaysia pada pakej produk mereka bermula bulan ini untuk terus menikmati subsidi.

Katanya, arahan itu itu dilihat tergesa-gesa meskipun kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak masa kepada pengeluar bagi mematuhi peraturan tersebut.

“Berapa banyak pengilang-pengilang yang akan terlibat di dalam perlaksanaan ini dengan mengambil kira kos yang perlu mereka tanggung?

“Mahukah kerajaan menanggung segala kerugian mereka hanya kerana tiada logo ‘1 Malaysia’,” soal Firdaus dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau juga menuntut jaminan kerajaan terhadap tempoh penangguhan pelaksanaan arahan tersebut.

“Barang-barang yang diwartakan pula semuanya barang kawalan yang sepatutnya rakyat menikmatinya dengan harga yang murah namun ia menimbulkan tanda tanya mengapa mesti bersyarat?” tambah beliau.

1 comment

Powered by Blogger.