Kenyataan Anwar tak gugat Pakatan, kata Mat Sabu

ARHIZA AHMAD & ROBIATULADAWIYAH ABD RASHID

SHAH ALAM – Terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik sokongannya terhadap Israel meskipun Majlis Syura memutuskan beliau harus berbuat sedemikian, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Justeru kata beliau, pendirian Ketua Pembangkang itu tidak akan menjejaskan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mohamad menambah, apa yang diperkatakan oleh Anwar kepada Wall Street Journal (WSJ) adalah pandangan peribadi dan dasar partinya, dan oleh itu, terpulang kepada beliau untuk memohon maaf atau sebaliknya.

"Pas tidak mempunyai halangan, terpulang kepada Anwar sendiri, persamaan dasar yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menuju ke Putrajaya, sekiranya ada parti ddalam PR mempunyai dasar lain, ia akan diperbincangkan kemudian.

"Namun sekiranya PKR dan DAP mempunyai dasar partinya sendiri, Pas tidak mencampurinya. Terpulang kepada mereka, termasuk menyuarakan pandangan peribadi ataupun mewakili parti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan Majlis Syura yang meminta Anwar menarik balik kenyataannya mengenai Israel. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Anwar itu satu tindakan yang tidak betul.

Nik Abdul Aziz menyarankan kepada Anwar sekiranya kenyataan itu telah diputar belit, beliau seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Mohamad berkata, apa yang dilakukan oleh Anwar itu tidak menggugat hubungan antara parti yang ada dalam PR, malah Pas masih tetap bersama.

"Apa yang berlaku tidak akan menggugat hubungan kami dalam PR, kami mempunyai dasar perjuangan yang sama, dan saya yakin rakyat memahami perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Anwar harus mengambil tindakan terhadap WSJ sekiranya beliau tidak membuat kenyataan sedemikian.

"Apa masalah? Jika benar tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian, Anwar harus bertindak terhadap WSJ, kenapa perlu bimbang tindakan itu boleh menyelesaikan masalah.

"Sekiranya Anwar enggan tarik balik atau menyaman WSJ. Apa boleh buat. Terpulang kepada beliau. Anwar bukan ahli Pas untuk diambil tindakan disiplin," katanya menerusi laman sosialnya.

No comments

Powered by Blogger.