Pemergian Dr Muhammad kehilangan besar buat PAS

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Dis: PAS menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tendong, Dr Muhammad Md Daud ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar buat parti.

Namun, pemergian Allahyarham ke rahmatullah malam tadi sememangnya telah diatur oleh Allah, walaupun ketika ummah masih memerlukan beliau untuk berkhidmat kepada agama dan rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bagi pihak PAS, beliau amat terasa dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah di atas pemergiannya.

Menurutnya, PAS sangat menghargai pengorbanan Allahyarham dalam memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya di Kelantan sepanjang berada dalam bahtera parti dan berkhidmat sebagai Adun.

Katanya, beliau serta seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti berdoa semoga Allah membalas jasa beliau dan menempatkan Allahyarham bersama orang-orang yang soleh yang istiqamah memperjuangkan agama Allah.

"Saya juga mendoakan semoga ahli keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh pendokong perjuangan Islam di Malaysia diberi kesabaran dan kekuatan berhadapan dengan pemergian beliau," katanya menerusi Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Pemergian Allahyarham, menurut Nasaie, sememangnya amat mengejutkan Abdul Hadi, tetapi ia mesti diterima dengan reda kerana segalanya telah ditentukan oleh Allah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu berharap semoga seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang masih hidup dapat meneruskan usaha Allahyarham yang terbukti istiqamah sehingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham Dr Muhammad Md Daud, 64, telah pulang ke rahmatullah jam 12.55 malam tadi kerana dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di suraunya di Kampung Perakap, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, tidak jauh dari rumahnya yang terletak di Lorong Haji Daud di kampung tersebut.

Solat jenazah diketuai Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diikuti pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.

Turut hadir menyembahyangkan jenazah beliau bersama Tuan Guru Nik Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam yang terletak tidak jauh dari surau tersebut selepas solat Zohor hari ini.

Pagi kelmarin Allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas bagi mengambil bekalan banjir untuk diagihkan kepada penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Dun Tendong merupakan satu Dun di bawah Parlimen Pasir Mas, selain Dun Chetok dan Pengkalan Pasir yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu.

No comments

Powered by Blogger.