MPSJ Digesa Segera Baiki Infrustruktur Di Subang Jaya

Oleh Afeeqa Afeera

SUBANG JAYA, 29 DISEMBER : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap penambahbaikan infrastruktur di sekitar kawasan USJ yang disifatkan penduduk sebagai kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh kepada pemberita ketika membuat lawatan dan tinjauan di sekitar Subang Jaya berhubung masalah infrastruktur yang terpaksa dihadapi penduduk.

Menurut Hannah, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk baharu-baharu ini berhubung masalah jalan berlubang terutama di USJ 1, USJ 12, USJ 15, SS14, Persiaran Tujuan, Persiaran Kewajipan serta beberapa kawasan lain.

Katanya, masalah tersebut telah dirujuk kepada pihak MPSJ dan kerja-kerja penampalan telah mula dijalankan, namun menurutnya masih terdapat banyak jalan berlubang yang tidak diselenggara lagi.

“Saya berharap MPSJ segera mengambil tindakan berhubung perkara ini kerana lubang tersebut boleh menyebabkan berlakuknya kemalangan jalan raya. Saya amat berharap MPSJ tidak mengabaikan perkara ini dan boleh memberi perhatian untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak MPSJ untuk memasang lampu jalan di antara kawasan USJ 11 sehingga USJ 13 dan sepanjang laluan utama di Persiaran Tujuan bagi tujuan keselamatan.

Di samping itu, Hannah juga menyuarakan rungutan penduduk terhadap kegagalan kontraktor yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melakukan kerja-kerja pengutipan sampah terutama di kawasan USJ 6.

Tegasnya, beliau mencadangkan kepada pihak MPSJ untuk segera mengambil tindakan terhadap kontraktor swasta yang gagal menyelenggara kutipan sampah dengan baik dengan menyenarai hitamkan mereka daripada mendapat tender.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk di kawasan USJ 6 di mana hampir seminggu sampah tidak dikutip sehingga berulat. Bagaimanapun, MPSJ sudah mula mengambil tindakan dan saya menggesa penduduk supaya bekerjasama dengan memberi laporan sekiranya berlaku sebarang masalah.

Kontraktor juga perlu mengutip sampah mengikut jadual yang ditetapkan.Saya menggesa MPSJ supaya menyenarai hitamkan kontraktor yang gagal menyelenggara sampah dengan baik,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk boleh memberi kerjasama dengan membuat aduan secara terus kepada MPSJ supaya mereka boleh mengambil tindakan segera.

Dalam sidang media sama, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi memaklumkan, beberapa cadangan telah dibuat bagi menyelesaikan masalah trafik di sekitar Jalan SS 16/1 dan SS 16/2 yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kesesakan Lalulintas pada 24 November lalu.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan adalah melibatkan Jalan Jengka antara Wisma Tractor dan Subang Parade dengan mengubah laluan sehala kepada dua hala dengan mengekalkan tiga fasa lampu isyarat iaitu membuat laluan “free flow” bagi membolehkan kenderaan membelok ke kiri sahaja.

“MPSJ juga akan mengubah jalan SS 16/1 dari jalan dua hala kepada jalan sehala daripada Carrefour sehingga sepanjang jalan.

Selain itu, ia turut melibatkan jalan antara SS 16/2 di antara Subang Parade dan Carrefour di mana kita akan kekalkan jalan itu sebagai dua hala tetapi akan kita akan memasang satu “island” bagi mengelakkan kenderaan membuat pusingan-U,” katanya.

Tambahnya, pihak MPSJ juga turut mensyaratkan kepada pemaju Sime Darby Brunsfield Holding Sdn Bhd untuk membuat jalan raya di sekitar Jalan Sambung Antara Casa Tiara dengan Mesiniaga terlebih dahulu sebelum Jalan SS 16/1 boleh ditukar menjadi jalan sehala.

“Keseluruhan jalan sehala ini akan dibuka mulai 15 Januari 2012 dan kita akan memaklumkan kepada pemilik bangunan dan syarikat kenderaan seperti bas dan teksi untuk melaksanakan perkara berkenaan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.