KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Dato' Dr Hassan Ali, YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan YB Saari Sungip Dipanggil Beri Penjelasan

PAS akan memanggil Dato Hasan Ali, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Saari Sungip bagi mendapat penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini. Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah.

Melihat situasi PRU yang semakin hampir, PAS ingin menegaskan parti tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj samada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti. Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai ‘team player’ untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura.

PAS ialah sebuah parti & jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah. Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam.

Kepada ahli-ahli PAS, ingatlah ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.’ Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments

Powered by Blogger.