Kenyataan Media: Jawapan Jamil Khir masih ditunggu

Saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali di atas penjelasan beliau tentang penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, Che Mat sendiri dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.

Che Mat menganggap isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat ini berbaur politik. Semalam Muhammad Yamin Ismail menyatakan pembiayaan kos guaman ini bagi menghadapi permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan geran kerajaan.

Namun jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat.

1. Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab YB Saifuddin Nasution di dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

2. Pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

3. Pada 21 November 2011, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010. Ini memandangkan geran kerajaan tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut. Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Saya juga berharap Che Mat menjawab persoalan yang dibangkitkan YB Saifuddin Jun lalu bagaimana tentang kesahihan prosedur yang digunakan memandangkan beliau yang memohon peruntukan kos guaman tersebut dan beliau juga, selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya.

Namun dalam hal ini sewajarnya Jamil yang tampil menamatkan sebarang keraguan. Saya tegaskan semalam bahawa janganlah beliau berselindung di sebalik pegawai kerajaan. Saya difahamkan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

Mungkin ada yang menganggap RM63,650 ini kecil berbanding skandal-skandal seperti PKFZ (RM12 bilion) dan NFC (RM250 juta). Namun isu ini membabitkan wang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam yang penting.

Ketika pihak berkuasa setiap tahun berbangga dengan kadar kutipan zakat dan menggesa umat Islam membuat bayaran zakat menerusi agensi zakat yang rasmi, Jamil ada tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan.

Justeru KEADILAN akan membuat laporan polis pada minggu depan sekiranya tiada penjelasan yang munasabah tentang percanggahan ini.

Nik Nazmi

No comments

Powered by Blogger.