Kenapa perlu ‘salinan’ surat nikah untuk memohon MyKad anak? — Dr Juanda Jaya

25 DIS — 1. Saya amat berterimakasih kepada semua pihak terutama media yang mengutip dan melaporkan status berita pada dinding laman Facebook peribadi saya Jumaat 23 Disember 2011 berkaitan isu permohonan Mykad anak gadis saya. Saya terpaksa beralih kepada Facebook setelah saluran rasmi lain yang saya gunakan gagal membantu saya pada masa itu. Zaman informasi terkini menjanjikan tiada masalah boleh disimpan di bawah karpet lagi dan manusia boleh saling berkongsi masalah dan membantu memberikan jalan penyelesaian sesama mereka.

Isu utama sebenar yang belum terjawab hingga hari ini ialah; Kenapa pihak JPN perlukan salinan (salinan??? bukan original) surat nikah bagi mengesahkan kewarganegaraan seseorang individu rakyat Malaysia sewaktu memohon Mykad anaknya? Begitu juga dipinta lagi sewaktu memohon untuk membuat Passport Antarabangsa? Apakah tidak cukup dengan Surat Beranak asal pemohon dan MyKad asal Bapa pemohon bagi mengesahkan KEASLIAN KEWARGANEGARAAN pemohon, seperti yang dinyatakan di papan kenyataan JPN sendiri. Bukankah kalaulah pasangan itu telah bercerai, status anak itu dalam Surat Beranak tetap kekal seperti adanya, kecuali dia memohon sebaliknya? Atau rakyat Malaysia tidak diberitahu bahawa kedudukan bapa/ibu warganegara tidak menjamin mereka berhak menjadi warganegara Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dan diwarwarkan oleh pihak KDN sendiri. SOP sebeginilah yang wajar disemak semula, sebagaimana kenyataan awal YBhg KSU KDN.

Padahal sewaktu memohon mendapatkan Surat Beranak yang turut dikeluarkan oleh Jabatan yang sama (bukan Jabatan dan Kementerian lain) salinan dan original surat nikah turut dikemukakan. JPN turut menuntut salinan berkenaan setiap kali pendaftaran anak yang baru, sesuatu yang pada saya wajar dilakukan bagi tujuan pengesahan status anak yang lain, walaupun ia tiada beza dengan sistem Mubarak di Mesir sewaktu saya di sana lebih 20 tahun lampau.

Isu lain yang tidak dijelaskan dengan teliti ialah; Kenapa status anak gadis saya selama 12 tahun ini dalam sistem JPN adalah X Warganegara? Bukankah Surat Beranak dia sudah menyatakan status dia adalah warganegara Malaysia? Bukankah Passport Antarabangsa dia juga berwarganegara Malaysia? Juga setiap kali passport dia dibuat, pihak Imigresen (dalam satu Kementerian KDN) akan merujuk kepada pihak JPN status kewarganegaraan dia sebelum passport dikeluarkan. Kalaulah benar status dia sudah dikemaskini pada 12 Jun 2009 (seperti kenyataan rasmi KDN semalam) maka mengapa pada 23 Disember 2011, status itu masih menunjukkan dia bukan warganegara. Saya sendiri melihat data status itu pada skrin komputer JPN seperti yang ditunjukkan kepada saya oleh staf JPN dan didengar sendiri oleh anak gadis saya yang turut bersedih di meja pegawai berkenaan. Staf perhubungan pelanggan, staf di kaunter dan pegawai JPN ini amat membantu saya dan komunikasi mereka amat baik sehingga saya mendapat sedikit maklumat yang saya kemukakan ini, bukan seperti ‘fitnah’ sesetengah pihak yang menyatakan bahawa mereka tidak terlatih dan tidak cekap.

Dua isu sebenar yang saya kemukakan ini belum terjawab walaupun pihak KDN menyatakan bahawa MyKad itu sudah siap dan boleh diambil. Saya ke JPN semalam yang dikatakan tetap beroperasi pada hari Sabtu, namun pihak Rela yang mengawal Bangunan menyatakan Federal Ofis tidak beroperasi pada Sabtu ini. Notis di pintu masuk juga menjelaskan hal demikian.

Saya bukan bertujuan untuk mensensasikan isu peribadi sebegini, walaupun saya turut diberi ‘ingatan’ oleh pihak JPN agar tidak mensensasikan isu sebegini. Ini urusan peribadi saya sebagai rakyat, bukan atas kapasiti lain. Saya amat terluka apabila dinyatakan oleh sistem data komputer JPN yang saya percayai dan yakini menyimpan data keselamatan negara yang sudah pasti akurat, tepat dan amat dipercayai, menyatakan dengan jelas anak saya selama 12 tahun ini, dalam rekod JPN Malaysia adalah bukan warganegara Malaysia, negara yang amat saya cintai!

Saya sudah lalui semua kepahitan dan kesulitan birokrasi dan redtapes sebegini dengan pihak Agensi Persekutuan di Sarawak. Saya yakin semua rakyat marhaen di Sarawak turut merasai ‘denyut nadi kesulitan’ yang sama. Tanyalah kepada mereka yang ikut BARISAN di kaunter-kaunter berkenaan. Apakah mereka bergembira?

Kita berada pada zaman online, bukan zaman manual. Zaman paperless, bukan zaman suka suruh rakyat buat salinan fotostat. Zaman data setempat, bukannya zaman ‘menitahkan’ rakyat ‘menghadap’ pelbagai agensi untuk mengesahkan status mereka dan memaksa rakyat mengisi pelbagai ‘songeh borang’ yang perlu diupah pelbagai khidmat di keliling Bangunan Persekutuan Sarawak yang akan meningkatkan kos rakyat marhaen (terutama yang buta huruf) di Sarawak bila berurusan dengan Agensi Kerajaan Persekutuan.

Isu ini saya ketengahkan sebagai rakyat marhaen di Sarawak adalah dalam rangka membantu memperkukuhkan slogan YAB Perdana Menteri “RAKYAT DIDAHULUKAN” demi Malaysia yang akan terus makmur dan Sarawak Maju Dalam Malaysia.

Akhirnya saya ingin berterimakasih kepada YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikhabarkan segera turun tangan membantu saya, begitu juga respons serta merta beberapa rakan media, politikus, birokrat dan teknokrat yang lain. Terimakasih juga kepada YBhg KSU KDN yang turut segera memberikan respons positif dan jaminan isu ini diselesaikan serta merta -menurut kenyataan beliau melalui media-. Namun agak malang, beliau turut mendedahkan beberapa fakta privasi diri dan keluarga saya kepada media. Saya tidak pasti apakah beberapa bahagian privasi hidup seseorang individu yang berada dalam simpanan KDN boleh didedahkan kepada media dalam menangani isu sebegini. Sekian. Kuching, 25 Disember 2011.

* Dr Juanda bin Jaya is the Mufti of Perlis

No comments

Powered by Blogger.