Perutusan Hari Raya Aidiladha 1432H

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izin-Nya Perayaan 'Aidiladha 1432 Hijrah tiba lagi. Ia merupakan satu daripada dua perayaan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai ganti kepada perayaan yang pernah disambut sebelum kedatangan Islam. Ia juga disambut bersama musim Haji dengan amalan ibadah korban bersamanya.

Sejumlah ibadat penting ini menjelaskan perlunya kita menyambut 'Aidiladha ini dengan penuh keinsafan, kegembiraan dan ketakwaan. Perbanyakkanlah amalan membesarkan Allah s.w.t. selain bersama menunaikan solat sunat 'Aidiladha dan mendengar khutbah.

Selain itu, ambillah peluang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan juga kemasyarakatan dengan bergotong-royong melaksanakan ibadah korban. Sambil bergembira dalam syukur, ingatlah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Sesungguhnya, dalam ibadah korban terkandung pelbagai mesej tersurat dan tersirat tentang kepentingan berkorban demi Allah s.w.t. dan melakukan sesuatu dengan cara terbaik. Ia juga mengingatkan kita akan kepentingan berusaha mencari rezeki yang halal melalui kerja keras dan sikap amanah.

Sempena sambutan 'Aidiladha untuk tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang sebanyak 516 lembu kepada masjid-masjid di seluruh Selangor melalui sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB), Worldwide Holdings Berhad, Menteri Besar Pemerbadanan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Semoga dengan sumbangan ini dapat menambah kemeriahan sambutan Aidiladha.

Saya mewakili semua Exco dan wakil rakyat mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh penganut agama Islam khususnya rakyat di negeri Selangor Darul Ehsan.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.